Peraturan keras, hukuman kejam di bawah Daesh


Wanita Yazidi menangis sewaktu acara pengebumian ahli keluarga mereka. – Gambar AFP, 24 Mac, 2019.

BAGI berjuta-juta orang yang terpaksa menanggung pemerintahan ganas Daesh, kehidupan di bawah lembayung “khilafah” adalah neraka dunia di mana kanak-kanak perempuan diperhambakan, muzik dilarang dan perbuatan homoseksual dihukum mati.

Para jihadis yang memakai tafsiran undang-undang Islam ultra-konservatif di seluruh wilayah Syria dan Iraq yang ditakluk pada 2014, akan menyeksa atau membunuh sesiapa sahaja yang tidak taat terhadap pemerintahan mereka.

Bagaimanapun, kejatuhan wilayah terakhir yang ditakluk Daesh di Syria timur menandakan berakhirnya negara yang dicanang-canang mereka, yang sama luasnya dengan Britain dan merupakan tempat tinggal lebih dari tujuh juta orang.

Nasib banduan yang digunakan militan jihadis sebagai perisai manusia masih tidak diketahui, namun lebih daripada 3,000 orang daripada puak Yazidi masih dilaporkan hilang.

Para jihadis yang mensasarkan kaum minoriti, pengikut agama kuno, untuk dikasari dan disiksa dilaporkan oleh PBB sebagai satu perbuatan genosida.

Mereka menyembelih beribu-ribu lelaki dan kanak-kanak Yazidi, menculik wanita dan anak perempuan untuk dijual di pasar hamba.

Ramai yang terpaksa menjalani penderaan seksual selama bertahun-tahun.

SDF yang didukung Amerika Syarikat berjaya menewaskan Daesh selepas militan jihadis terpaksa berundur ke wilayah Baghouz. – Gambar AFP, 24 Mac, 2019.

“Kami lakukan semua yang mereka arah,” kata Bessa Hamad, seorang wanita Yazidi Iraq yang dijual enam kali oleh jihadis sebelum melarikan diri dari Syria.

“Kami tidak boleh mengatakan tidak.”

Anak-anak Yazidi yang tidak dibunuh dipaksa untuk berperang dan didoktrinasi bagi membenci masyarakat mereka, menyebabkan keluarga mereka sukar menyambung semula perhubungan dengan mereka yang berjaya diselamatkan.

Kanak-kanak yang memasuki sekolah-sekolah kelolaan Daesh belajar untuk mengira dengan buku matematik yang memaparkan senapang dan bom tangan, namun, gambar yang memaparkan manusia diharamkan.

Sama seperti pejuang di barisan hadapan, Daesh turut melatih dan menubuhkan pasukan polis mereka sendiri, pegawai-pegawai polisnya boleh mengenakan denda atau sebat ke atas lelaki yang nafas mereka berbau rokok atau alkohol.

Buku-buku juga turut dibakar, sementara menari dan muzik dilarang sama sekali. Ia diganti dengan siaran propaganda melalui stesen radio mereka sendiri.

Kaum jihadis menggunakan tukul besar bagi menghancurkan artifak kuno yang tidak ternilai harganya, mereka menganggap ia sebagai berhala yang wajib dimusnahkan.

Sementara kod pakaian yang ketat dilaksanakan dengan memaksa gadis muda memakai tudung Islamik berselubung hitam.

Dan lelaki pula diwajibkan menyimpan janggut dan mengenakan jubah tradisional. – AFP, 24 Mac, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen