Puak Kurdi Syria desak dunia ambil semula jihadis asing


Pasukan Demokratik Syria (SDF) berjaya melakukan serangan di kubu militan Daesh terakhir di timur Syria. – Gambar EPA, 24 Mac, 2019.

PUAK Kurdi Syria memberi amaran pada hari Ahad bahawa ribuan tahanan jihadis asing selepas pertempuran mereka dengan kumpulan Daesh adalah bom masa yang perlu dimusnahkan masyarakat antarabangsa.

Bercakap sehari selepas pasukan yang diketuai puak Kurdi mengumumkan kekalahan “khalifah” jihadis, pegawai hal ehwal luar negara Kurdi Abdel Karim Omar memberi amaran bahawa tawanan warga asing masih menjadi ancaman kepada wilayah itu.

“Terdapat beribu-ribu pejuang, kanak-kanak dan wanita dari 54 negara, tidak termasuk warga Iraq dan Syria, ia merupakan beban serius dan bahaya bagi kami dan masyarakat antarabangsa,” kata Omar kepada AFP.

“Bilangan tawanan terus meningkat secara besar-besaran dalam tempoh 20 hari operasi terakhir Baghouz,” katanya, merujuk kepada sebuah daerah pedalaman di tepi sungai Furat di mana pasukan jihadis bertahan untuk kali terakhir.

Nasib tahanan Daesh warga asing menjadi masalah utama apabila Pasukan Demokrat Syria (SDF) yang diketuai puak Kurdi mengumumkan kekalahan negara yang didirikan kumpulan jihadis yang diisytiharkan pada tahun 2014.

Selepas serangan selama sebulan oleh SDF yang disokong Amerika Syarikat bagi menyingkirkan kubu kuat Daesh yang terakhir di Lembah Furat, para jihadis dan keluarga mereka secara beransur-ansur berkumpul di daerah Baghouz ketika lambang terakhir “khalifah” dilihat terus kalah di kawasan-kawasan yang sebelum ini dikuasai mereka.

Walaupun ada yang berjaya melarikan diri, masih banyak warga asing yang terus kekal di wilayah itu, sama ada menyerah kalah kepada SDF atau berjuang dan meninggal dunia di sana. – AFP, 24 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen