Israel serang Gaza selepas kejadian tembok dibom


PESAWAT pertahanan Israel mensasarkan beberapa pangkalan Hamas di Semenanjung Gaza pada awal hari ini berikutan beberapa alat peledak dilemparkan oleh warga Palestin di tembok sempadan sewaktu “rusuhan” berlaku, kata tentera.

Kementerian Kesihatan di Gaza mengumumkan kematian warga Palestin yang sebelum ini dilaporkan cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel.

Warga Palestin di Gaza dikatakan melancarkan beberapa alat peledak ke arah tembok sempadan Israel, di mana salah satu peledak itu mencetuskan siren bagi serangan udara di selatan negara tersebut lewat hari Sabtu lalu, kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

“(Serangan ini adalah) sebagai tindak balas terhadap pelbagai alat letupan yang dibaling dan meletup semasa rusuhan Gaza berhampiran tembok sempadan Israel pada malam ini, pesawat IDF mensasarkan dua pangkalan pemerhatian Hamas di selatan Gaza,” kata kenyataan tentera itu lagi.

Tidak ada laporan terkini mengenai mangsa yang terkorban di Gaza.

Kementerian Kesihatan Gaza bagaimanapun mengumumkan kematian Habib al-Masri berusia 24 tahun, yang tercedera dalam pertempuran dengan tentara Israel sebelum ini. Ia bagaimanapun, tidak memberi butiran mengenai kecederaan beliau.

Pada hari Jumaat, dua warga Palestin terbunuh oleh tembakan Israel dalam pertempuran di kawasan sempadan yang berasingan.

Keesokan hari, tentera Israel melancarkan dua lagi serangan udara berasingan terhadap warga Palestin di Gaza yang dikatakan melepaskan belon yang mempunyai bahan letupan ke Israel.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata dua warga Palestin cedera dalam serangan tersebut.

Sekurang-kurangnya 258 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan Israel di Gaza sejak protes di kawasan sempadan dilancarakan setiap minggu sejak hampir setahun lalu.

Pemimpin Hamas, Ismail Haniya menyeru himpunan besar-besaran bagi memprotes di kawasan sempadan dua wilayah itu sempena ulang tahun pertama demonstrasi tersebut, pada 30 Mac depan.

Israel menuduh Hamas sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap semua serangan dari Gaza, wilayah yang dikuasai kumpulan Islamis itu sejak tahun 2007. – AFP, 24 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen