JAKARTA melancarkan sistem Mass Rapid Transit (MRT) pertama di bandar itu dengan harapan projek bernilai AS$1.1 bilion itu (RM4.47 bilion) dapat mengatasi kesesakah trafik yang teruk di ibu negara Indonesia itu.
Presiden Joko Widodo atau Jokowi bersama beberapa pegawai kerajaan menghadiri majlis itu di Jakarta bagi menyempurnakan pelancaran laluan rel tren sepanjang 16 kilometer itu selepas hampir enam tahun projek dengan kerjasama Jepun dijalankan.
Puluh ribu penduduk Jakarta turut menyaksikan majlis pelancaran itu dan bersemangat mencuba sistem tren tersebut buat kali pertama selain mengambil peluang untuk berswafoto dengan presiden.
Sistem tren itu beroperasi di darat dan bawah tanah dengan jarak dari Hotel Indonesia di tengah bandar raya itu ke bahagian bahagian selatan Jakarta.
Sistem pengangkutan itu bertujuan menjimatkan masa antara dua jarak dengan masa 30 minit berbanding dua jam jika menggunakan jalan raya.
Kemudahan itu melegakan ribuan pengguna jalan raya yang sebelum ini terpaksa menghabiskan masa akibat kesesakan trafik.
Laluan tren itu akan beroperasi secara rasmi kepada umum bermula Isnin dengan perkhidmatan diberikan secara percuma selama seminggu.
Pembinaan laluan kedua menghubungkan kawasan pinggir bandar ke utara Jakarta juga bermula hari ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 2024, dan lebih banyak laluan lagi akan dibina.
Jokowi berharap projek pengangkutan awam akan mampu memacu perkembangan ekonomi Indonesia selain dapat mengekalkan jawatan sebagai presiden pada pilihan raya umum pada bulan depan. – AFP, 24 Mac, 2019.
Komen