NZ adakan upacara memperingati insiden Christchurch minggu depan


Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berkata upacara memperingati peringkat negara minggu depan akan memberi peluang kepada penduduk Christchurch, warga New Zealand dan rakyat di seluruh dunia untuk bersama-sama menghormati para korban serangan pengganas. – Gambar EPA, 24 Mac, 2019.

NEW Zealand akan mengadakan upacara memperingati peringkat negara bagi mangsa pembunuhan beramai-ramai masjid Christchurch dan keluarga mereka pada 29 Mac, umum Pejabat Perdana Menteri pada Ahad.

Ia akan berlangsung di Christchurch dua minggu selepas seorang pengganas kulit putih warga Australia menembak dan membunuh 50 orang Islam yang tiba untuk sembahyang Jumaat di dua masjid di kota itu pada 15 Mac.

“Upacara memperingati peringkat negara ini memberi peluang kepada penduduk kawasan Christchurch, warga New Zealand dan rakyat di seluruh dunia untuk bersama-sama menghormati para korban serangan pengganas,” kata Perdana Menteri Jacinda Ardern dalam satu kenyataan.

“Pada minggu ini sejak serangan keganasan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, terdapat kesedihan dan kasih sayang di negara kita.

“Ini akan menjadi peluang sekali lagi untuk menunjukkan New Zealand adalah penuh kasih sayang, inklusif dan kepelbagaian, dan kami akan melindungi nilai-nilai itu.”

Pembunuhan itu mengejutkan negara yang biasanya tenang dan menyebabkan kengerian di seluruh dunia, dengan pengganas kejam menyiarkan melakukan pembunuhan beramai-ramai secara langsung di Internet.

Sejak itu, penduduk New Zealand memberi sokongan kuat kepada komuniti kecil Islam di situ.

Serangan itu juga menyebabkan puluhan yang lain cedera, beberapa daripadanya berada dalam keadaan kritikal.

Brenton Tarrant, warga Australia berusia 28 tahun, ditangkap beberapa minit selepas kejadian dan didakwa dengan pembunuhan. – AFP, 24 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen