Lebih 100 penduduk kampung dibunuh di Mali


Tentera Mali dengan sokongan pihak berkuasa tempatan tiba di kampung yang diserang dan mengatakan angka korban sekurang-kurangnya 105 orang. – Gambar AFP, 24 Mac, 2019.

KUMPULAN etnik Dogon membunuh lebih 100 orang dalam serangan ke atas sebuah kampung Fulani di tengah Mali pada Sabtu, kata pegawai tempatan, ketika delegasi PBB melawat negara itu.

“Jumlah kematian baru adalah 115 orang” di kampung Ogossagou, kata Cheick Harouna Sankare, Datuk Bandar Ouenkoro.

“Ia adalah pembunuhan beramai-ramai orang awam Fulani oleh pemburu tradisional Dogon.”

Terdahulu, beliau melaporkan kematian kira-kira 50 orang, tetapi memberi amaran jumlah mungkin boleh meningkat kerana banyak mayat belum ditemui.

Mangsa ditembak atau ditetak hingga mati dengan parang, kata sumber keselamatan.

Tentera Mali dengan sokongan tempatan tiba di lokasi pada waktu petang, dan mereka mengatakan angka korban sekurang-kurangnya 105 orang, kata sumber keselamatan.

Boubacar Kane, gabenor daerah Bankass, yang merangkumi Ogossagou, berkata jumlah korban  adalah 115 orang. Para penyelamat menuduh pemburu tradisional melakukan serangan itu, tambahnya.

Serangan itu dilancarkan pada subuh Sabtu di kampung berhampiran sempadan Burkina Faso, kata beberapa sumber. Daerah ini menjadi tempat kejadian keganasan antara kaum.

Dua saksi disoal secara berasingan oleh AFP berkata pemburu itu membakar hampir semua pondok di kampung itu.

Pembunuhan beramai-ramai berlaku ketika delegasi daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melawat wilayah Sahel untuk menilai ancaman militan di sana.

Misi PBB di Mali, MINUSMA, dalam mesej Twitter, “dengan tegas mengutuk serangan tersebut terhadap orang awam” dan menyeru pihak berkuasa Mali menyiasat.

PBB berkata para duta dari negara-negara Majlis Keselamatan pada Sabtu bertemu Perdana Menteri Mali Soumeylou Boubeye Maiga dan berbincang keadaan tidak menentu di ibu negara. – AFP, 24 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen