PH rancang adakan pertemuan dengan Zahid berhubung kelulusan RoS


Diyana Ibrahim

PAKATAN Harapan merancang untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung draf perlembagaan Pakatan Harapan.

Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad berkata pertemuan itu diharap memberi peluang kepada pembangkang untuk menjelaskan dan membuat pindaan logo dan simbol sekiranya terdapat sebarang kemusykilan.

“Kami masih belum menerima sebarang maklum balas dari RoS bagi kelulusan permohonan logo dan simbol parti PH.

“Kami perlu dapatkan kelulusan itu sebagai persediaaan pilihan raya umum dan kita sedia untuk berjumpa dengan menteri dalam negeri,” katanya.

PH menghantar permohonan itu kepada RoS pada 28 Julai untuk didaftarkan sebagai parti bersama logonya.

RoS bagaimanapun menolak permohonan logo dan meminta pakatan untuk membuat permohonan baru dengan spesifikasi yang diberikan. PH sudah menghantar beberapa logo mengikut sesifikasi yang diberi.

Sehingga kini, permohonan kelulusan sebagai parti mahupun logonya masih belum diluluskan.

PKR, DAP, Amanah dan Bersatu yang merupakan pakatan dalam PH merancang untuk menggunakan hanya satu logo pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu Presiden Amanah Mohamad Sabu mengumumkan Konvensyen Nasional 2017 Parti Amanah Negara di Kedah yang akan diadakan minggu dean ditunda kepada Oktober.

Penundaan itu dibuat bagi menghormati kemangkatan Sultan Kedah Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Tarikh baharu yang diumumkan adalah pada 21 dan 22 Oktober. – 11 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen