LEBIH NZ$10.8 juta (AS$7.4 juta) sumbangan orang ramai diterima setakat ini untuk membantu keluarga 50 orang yang terbunuh dalam insiden tembakan masjid di New Zealand, menurut dua laman sesawang yang membuat kutipan dana.
Dana sokongan di laman sesawang New Zealand, GiveaLittle.co.nz menerima NZ$8,271,847 daripada lebih 91,000 penderma pada Ahad, sementara LaunchGood.com, platform kutipan dana global yang memberi tumpuan kepada umat Islam, mengumpul NZ$2,546,126 daripada lebih 40,000 penderma.
Pembunuhan 50 jemaah di dua masjid di Christchurch pada 15 Mac mengejutkan negara dan menyebabkan kengerian global, ditambah dengan kejadian yang disiar secara langsung oleh pengganas berkulit putih itu.
Sejak itu, penduduk New Zealand memberi sokongan padu kepada komuniti Islam yang kecil di sana.
Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berkata minggu lalu, negara itu akan menampung kos pengebumian 50 mangsa serta “kos penghantaran balik bagi mana-mana ahli keluarga yang ingin memindahkan insan tersayang dari New Zealand.”
Serangan itu juga menyebabkan puluhan yang lain cedera dengan di antaranya kritikal.
Brenton Tarrant, lelaki berkulit putih warga Australia berusia 28 tahun, ditangkap beberapa minit selepas pembunuhan beramai-ramai itu dan didakwa dengan pembunuhan. – AFP, 24 Mac, 2019.
Komen