8 kanak-kanak Sudan maut 'objek pelik' meletup


Ramai kanak-kanak di Sudan terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk mencari nafkah ketika krisis ekonomi negara itu semakin memburuk. – Gambar AFP, 24 Mac, 2019.

LAPAN kanak-kanak terbunuh pada Sabtu di bandar Omdurman, Sudan apabila objek tidak dikenal pasti yang ditemui mereka meletup, jurucakap polis memberitahu AFP.

Tujuh kanak-kanak terbunuh di tempat kejadian manakala yang ke-8 meninggal dunia akibat kecederaan di hospital, kata Hashim Abdelrahim.

Beliau berkata, kanak-kanak itu dipercayai sedang mencari bahan buangan untuk dijual, menemui “objek pelik” dan “meletup” apabila mereka memegangnya.

Insiden itu berlaku di utara Omdurman yang pernah menjadi tempat kemudahan tentera beberapa tahun lalu.

Media negara Sudan mengesahkan lapan kanak-kanak itu maut dalam letupan tetapi tidak memberikan sebarang butiran lanjut.

Abdelrahim berkata pihak polis sedang menyiasat kejadian tersebut.

Ramai kanak-kanak yang sepatutnya ke sekolah terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk mencari nafkah ketika krisis ekonomi semakin buruk yang menyaksikan kenaikan harga makanan.

Krisis ekonomi mencetuskan protes di seluruh negara selama lebih tiga bulan terhadap pemerintahan Presiden Omar al-Bashir.

Bashir berterusan berdegil dan mengenakan perintah darurat di seluruh negara pada 22 Februari untuk menghentikan demonstrasi yang dilihat sebagai cabaran terbesar dalam pemerintahan tiga dekadnya. – AFP, 24 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen