SATU-SATUNYA cara untuk menghentikan kilang sisa buangan haram yang ibarat cendawan tumbuh di Sungai Petani, Kedah adalah dengan menghentikan pemberian lesen import (AP), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min.
Beliau berkata terdapat kaitan tidak langsung antara AP diberikan kepada kilang yang sah dan kilang haram.
Ooi menambah satu daripada sebab utama terdapat banyak kilang haram adalah sesetengah syarikat yang sah tidak boleh mengendalikan jumlah sampah yang besar, dan ia kemudian memberikan sub-kontrak kerja kepada kilang lebih kecil, yang sebahagian besarnya beroperasi secara haram.
Beliau menegaskan keadaan tidak akan segera selesai berdasarkan saiz sisa bahan kitar semula yang dibawa masuk ke negara ini untuk diproses.
“Kami difahamkan terdapat 200 kontena kitar semula di pelabuhan Pulau Pinang.
“Mereka yang tidak mempunyai AP, tidak sepatutnya mempunyai bahan sisa buangan dari negara lain di kilang mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Exco negeri untuk alam sekitar itu juga berkata pada masa ini, hanya dua daripada 13 kilang kitar semula sisa di kawasan itu mempunyai AP.
“Dan sudah terdapat pembekuan terhadap dua kilang yang mempunyai AP sejak Julai tahun lepas,” katanya.
Beliau menambah laporan mengenai dua pemegang AP dihantar ke Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) yang berada di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Syarikat itu masih beroperasi sementara menunggu keputusan daripada JPSPN,” katanya.
Bagaimanapun baginya, penyelesaian untuk masalah ini adalah mudah - hentikan pemberian AP.
“Kerajaan perlu berhenti mengeluarkan AP. Jika tiada bekalan, maka tiada permintaan,” katanya.
Ooi juga mengatakan banyak kilang masih beroperasi secara haram dan memproses sisa plastik dari luar, walaupun AP dibekukan.
“Kami sudah melakukan pemeriksaan dengan Jabatan Alam Sekitar dan menutup beberapa kilang.
“Kami juga memberkas kilang yang memproses plastik asing walaupun tidak mempunyai AP untuk mengimportnya,” katanya.
Sejak China mengharamkan import sisa plastik pada 2017, Malaysia menjadi satu daripada pengimport plastik terbesar di dunia, menerima ratusan ribu tan sampah setiap tahun.
Pada Januari hingga Julai tahun lepas, Malaysia menerima 754,000 tan sisa plastik, kebanyakannya dari UK, Jerman, Jepun dan Australia, menurut Greenpeace.
Penduduk yang tinggal di sekitar kawasan perindustrian Bakar Arang di Sungai Petani, lokasi kilang itu berada mengadu pencemaran udara dan asap.

Mereka juga mendakwa pembakaran terbuka dan bau busuk dari kilang-kilang itu memberi kesan kepada kanak-kanak di SK Taman Sri Wang yang terletak sejauh 500 meter.
Penduduk memulakan petisyen yang meminta kilang-kilang itu dipindahkan.
Ooi berkata kerajaan negeri mengalu-alukan langkah penduduk memulakan petisyen itu.
“Kami memerlukan suara rakyat untuk membantu kami mendedahkan kilang haram.”
Ooi menambah beliau sedar akan masalah itu dan mereka melakukan pemeriksaan secara tetap di kilang berkenaan.
“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, Sungai Petani menjadi tempat pilihan untuk kilang kitar semula.
“Kami menjalankan pelbagai operasi dan sebagai majlis tempatan, kami hanya boleh mendenda mereka.
“Jabatan Alam Sekitar boleh menutupnya jika mereka tidak mematuhi peraturan tertentu tetapi apabila isu itu diatasi, ia boleh beroperasi semula,” katanya.
Ooi berkata pihak majlis tempatan perlukan lebih kuasa untuk melaksanakan penguatkuasaan dan menutup kilang-kilang.
“Terdapat batasan tetapi kami akan membangkitkannya dengan pihak berkuasa.
“Kita perlu berhenti mengimport sisa kitar semula dan mula memfokuskan lebih banyak kepada sisa tempatan kita.”
Ooi berkata salah satu bidang yang mereka teliti untuk membendung masalah ini adalah untuk mewujudkan semula kawasan khusus untuk memproses sisa kitar semula.
“Jika kita boleh memastikan semua kilang dipindahkan dari kawasan kediaman dan ke kawasan tertentu maka lebih mudah pihak berkuasa memantau,” katanya. – 24 Mac, 2019.
Komen