Kita sedang mabuk buku digital?


Zainal Rashid Ahmad

PADA Sabtu 16 Mac lalu, saya berkesempatan bertemu lebih 40 peserta dari pelbagai institusi, organisasi media, penerbit buku dan penulis.

Sesinya hanya dalam mood semi formal di Rumah Pena dengan pembentangan dan diskusi mengenai Memahami Landskap Digital. Cuma, pengkhususannya pada industri perbukuan dan portal kandungan.

Sesi dua jam ini dianjurkan secara percuma.

Matlamatnya sekadar mencari ruang berinteraksi secara multi perspektif dengan pemain dalam ekosistem buku dan portal.

Diskusi ini berikutan kegerunan saya melihat keghairahan munculnya anutan baharu dalam industri penerbitan buku. Meledaknya mazhab digital.

Perbukuan digital bukan lagi bisnes pagi hari. Ia sudah asar sebenarnya. Kita saja baru terkejut tergempar. Perbukuan digital sebentar lagi pun bakal menyusur kemelesetan industri TV yang sudah lewat petang. Industri akhbar pula sudah melepasi senja.

Banyak syarikat perbukuan digital di seluruh dunia mula menyedari, berada dalam platform digital bukan jaminan buku mampu meraih limpahan ekonomi digital. Platform digital punya tabiat dan trend tersendiri.

Langkah menuju perbukuan digital dalam demografi kuasa beli dan tabiat pengguna di negara ini harus difahami. Habit digital tidak memanfaatkan semua kandungan. Apalagi kandungan teks yang tebal dalam budaya telefon pintas sebagai pengakses utama.

Selebihnya ialah, sikap pengguna digital yang mahukan kandungan percuma. Akhbar dan portal berita yang berada di platform digital juga sukar mendapatkan langganan berbayar.

Kejayaan kandungan digital seperti Amazon, iFlix dan Netflix disebabkan akses langganan kandungannya yang bersifat global.

Justeru, migrasi ke digital secara sembrono bagi pasaran terhad saiz langganan di negara ini boleh menjadi bencana. Macam gali kubur untuk bunuh diri.

Justeru, jangan terlalu bersemangat mendigitalkan kandungan buku serta menolak potensi masa depan buku dalam bentuk cetakan fizikal.

Buku fizikal masih relevan dan sebenarnya hanya memerlukan platform digital untuk strategi pemasaran. Bukan keutamaan untuk didigitalkan kandungannya.

Ada beza antara pemasaran digital dan kandungan digital.

Secara naif, industri perbukuan di negara ini sedang dilanda ketakutan luar biasa. Kononnya, dunia buku fizikal kini sedang menuju kiamat. Alam baharu seterusnya ialah era penerbitan kandungan buku digital.

Ia mengulangi sejarah penyakit pada awal alaf baharu dua dekad lalu. Apabila beribu-ribu syarikat dot.com ditubuhkan kerana kejutan era teknologi informasi (IT).

Pada era itu, syarikat berasaskan bisnes IT melonjak tinggi di pasaran bursa saham. Justeru, semua syarikat meluncurkan bisnes IT sebagai persediaan menjadi syarikat bilionaire.

Namun, hakikatnya – dalam sekelip mata, tidak sampai lima tahun, ribuan syarikat IT yang dibangunkan oleh keghairahan melulu itu, mati konyol begitu sahaja.

Era IT mencipta gelombang komunikasi tetapi untung bisnesnya disapu oleh pemilik jenama teknologi luar negara yang menakluk negara ini melalui koloni penguasaan talian servis.

Akhirnya, syarikat digital tempatan menyedari, apa pun servis yang ditawarkan, nilai komersil dan material serta pendapatan iklan atas talian, disapu penyedia engin komunikasi milik asing.

Pelbagai jenama produk engin talian termasuk perisian seperti Microsoft, Yahoo, Google dan Apple menjelma menjadi kapitalis baharu.

Sekelip mata, ribuan syarikat IT tempatan tumbang. Hanya dua syarikat telekomunikasi yang berjaya menempatkan diri dengan menguasai 32 juta pengguna khidmat talian telefon mudah alih.

Itu pun atas dasar perlindungan kerajaan yang mengekang servis talian komunikasi domestik daripada dikuasai pemodal luar.

Selebihnya, hingga kini 24 juta rakyat negara ini kekal menggunakan servis enjin komunikasi dan maklumat atas talian milik syarikat gergasi luar negara. Begitu juga media sosial. Malah, iklan digital yang menguasai 45% pasaran ADEX tempatan, turut dimonopoli platform servis talian milik asing.

Malah, selepas dua dekad era IT, tidak ada satu pun jenama produk servisnya samada bersifat fizikal atau perisian komunikasi berjaya dihasilkan sebagai buatan Malaysia. Kita kekal menjadi pengguna sahaja.

Berbalik pada kegilaan perbukuan digital, soalannya: Benarkah pasaran buku dengan data 10 ribu perkataan hingga 50 ribu perkataan mampu mencipta trend dan habit komersil dalam platform digital?

Apakah akan wujud tabiat membaca yang ekstrem di platform digital hingga buku mampu mencipta permintaan luar biasa?

Apakah buku digital mampu menyaingi lambakan konten pelbagai aplikasi popular atas talian yang boleh diakses secara percuma dan meluas melalui trend telefon pintar?

Soalan paling besar, setelah semua kandungan buku didigitalkan, selain mendapatkan pembaca, wujudkah potensi komersil?

Apakah, industri perbukuan digital mampu mencipta ledakan pemintaan berbayar dan mencipta tabiat membaca sekaligus meraih keuntungan?

Apakah buku fizikal selama ini merosot kerana tidak didigitalkan? Atau kerana kurang strategi promosi yang mampu mencipta permintaan?

Persoalan sepuluh kali lebih besar: Apakah kajian sudah dibuat terhadap nasib sejuta buku yang didigitalkan di platform gergasi seperti Amazon?

Dengan 2 bilion pembaca potensi, apakah Amazon berjaya mencipta pemintaan terbaik bagi sejuta judul pasaran buku digital?

Atau kekal sebagai platform bisnes yang berat sebelah, di mana penerbit meletakkan bahan buku digital tetapi rundingan raihan keuntungan sangat berat sebelah.

Kalau buku fizikal dibuli kapitalis premis pengedar dengan kadar zalim pembahagian hasil 60:40, apakah digital mampu mencipta formula lebih adil?

Apakah nasib purata sejuta judul buku di Amazon menjana nisbah untung yang baik? Atau sebenarnya, ratusan ribu judul hanya jadi arkib sahaja dalam digital Amazon?

Ketika ini kita sedang mabuk digital. Jadi, apakah strategi untuk memastikan – migrasi digital mampu mencipta permintaan dan wujudnya kuasa beli?

Ingat! Digital telah membudaya rakyat negara ini dengan nikmat kandungan percuma.

Kalau tidak yakin buku digital boleh dikomersilkan, kita akan rugi sekali lagi kalau melaksanakan pendigitan buku tanpa strategi.

Kita akan menghabiskan kos mendigitalkan buku tetapi tiada nilai komersil. Lebih malang, kalau akhirnya buku digital hanya jadi arkib sunyi yang tidak dipeduli.

Tetapi, kalau kita kaya dan bersedia meneruskan budaya subsidi dan akses bacaan percuma, ayuhlah berdigital. Tapi, kalau berdigital tetapi percuma, lebih baik kita baiki industri perbukuan fizikal yang trendnya masih komersial.

Cuma, jangan terkejut pula. Walaupun percuma aksesnya, pustaka buku digital belum tentu popular. Malah, mungkin jadi platform ‘pusara digital paling sunyi’.

Ingat! Platform digital menawarkan kandungan popular yang serba stailo dan semuanya percuma.

Kandungan YouTube saja, memerlukan 150 tahun untuk ditonton secara percuma. Muzik dan filem dalam genre pop pun, kini kekal percuma di platform digital. Habit digital ialah percuma!

Apakah buku digital juga nantinya percuma?

Tolong jangan serbu dulu semata-mata kerana kita mabuk digital. Orang mabuk jarang sekali sempurna akalnya! – 24 Mac, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen