Kubu terakhir IS ditawan, pengganas ‘dimusnahkan sepenuhnya’


TENTERA Kurdish mengumumkan penghapusan sepenuhnya Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) selepas “khalifah’ berusia hampir lima tahun itu berjaya ditumpaskan sepenuhnya pada Sabtu dengan rampasan kubu terakhirnya di timur Syria.

Pejuang Tentera Demokratik Syria disokong AS mengibarkan bendera kuning mereka di Baghouz, perkampungan pendalaman yang menjadi kubu terakhir pengganas pelbagai negara itu bertahan.

Kejayaan SDF itu menamatkan operasi enam bulan terhadap saki baki pengganas yang dahulunya menguasai kawasan luas di antara Iraq dan Syria dan menjadikan hampir tujuh juta orang tawanan dalam kawasan itu.

Pemimpin dunia meraikan kejayaan itu, menganggapnya kejayaan penting dalam perjuangan menghapuskan IS dan ideologinya, tetapi memberi amaran ia boleh mewujudkan serangan pengganas seluruh dunia dilakukan saki baki pengganas.

Di Al-Omar, sebuah pelantar minyak digunakan SDF untuk melakukan serangan terakhirnya, tentera meraikan kejayaan dengan menari dan menyanyi.

Mereka disertai pemimpin puak Kurdish dan Arab, serta tentera AS, untuk upacara mengenang rakan pejuang yang terkorban dan meraikan kejayaan itu.

IS yang diketuai ketuanya yang kini jadi buruan, Abu Bakr al-Baghadi mengisytiharkan “khalifah” di kawasan berkenaan pada pertengahan 2014, tetapi mula bergolak selepas pasukan tentera bersekutu disokong AS memulakan operasi besar-besaran dan berjaya merampas Mosul dan Raqa.

Pertempuran hampir lima tahun menentang kumpulan pengganas paling kejam dalam sejarah moden dunia itu menyebabkan berpuluh bandar berusia ribuan tahun musnah dan berjuta orang jadi pelarian.

AS dalam anggaran awalnya memberikan jumlah pengganas IS sekitar 40,000 orang, kebanyakannya pengganas asing.

Serangan yang dilakukan menyebabkan kawasan jajahan IS terus berkurangan dan pada September 2018, SDF melancarkan serangan terakhir untuk menghapuskan “khalifah” itu di kubu kuatnya di Lembah Euphrates.

Menurut Syrian Observaty for Human Rights, serangan di Euphrates menyebabkan 630 orang awam, 730 tentera SDF dan sekitar 1,600 pengganas IS terbunuh.

Berucap di majlis di Al Omar, komander SDF Mazloum Kobane memberi amaran tentang operasi baharu anti IS.

AS sudah menyatakan akan menarik pulang tenteranya di Syria, tetapi Kobane merayu ia dikekalkan untuk memusnahkan saki baki pengganas yang masih wujud yang menjadi ancaman besar kepada rantau itu dan dunia.

Bagaimanapun, pengganas masih bertahan di barat Syria, di padang pasir Badia dan pelbagai tempat persembunyian lain, mewujudkan risiko kebangkitan semula kumpulan pengganas itu. – AFP, 23 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen