SEKURANG-KURANGNYA tiga terbunuh dan 30 cedera dalam ledakan berkembar ketika Hari Peladang berlangsung di stadium di selatan Afghanistan hari ini.
Ledakan berlaku di Lashkar Gah, ibu kota wilayah Helmand.
Hari Peladang merupakan sebahagian daripada acara Tahun Baharu Parsi, kata jurucakap gabenor wilayah Omar Zhwak kepada AFP.
Orang ramai meletakkan produk pertanian mereka di stadium utama ketika letupan berlaku, kata saksi, Omidullah Zaheer.
“Letupan kecil berlaku di dalam khemah. Pengunjung mula berjalan ke arah pintu ketika letupan kedua mula mengenai orang ramai.
“Saya melihat beberapa orang cedera dikeluarkan dari stadium,” katanya.
Omar berkata, letupan kedua tidak mencederakan ramai orang kerana sudah ramai melarikan diri dari kawasan itu selepas letupan pertama.
Antara yang cedera ialah timbalan gabenor, timbalan ketua dewan wilayah, ketua maklumat dan ketua jabatan budaya serta pertanian.
“Saya baik-baik saja,” kata gabenor Mohammad Yasin kepada AFP.
Tetapi tiga orang terbunuh dan 31 cedera dalam letupan itu, katanya
Dia menyalahkan Taliban berhubung serangan itu.
Serangan berlaku dua hari selepas enam orang terbunuh dan lebih 20 orang cedera dalam insiden di Kabul semasa perayaan Tahun Baharu Parsi di kawasan Syiah.
Kumpulan IS mengaku bertanggungjawab atas serangan di Kabul itu. – AFP, 23 Mac, 2019.
Komen