Jepun batal usir lelaki gay Taiwan


Lelaki warga Taiwan yang kini berusia 40-an itu menetap di Jepun hampir 25 tahun bersama pasangannya seorang warga Jepun yang berusia 50-an. – Gambar AFP, 23 Mac, 2019.

JEPUN membatalkan rancangan untuk mengusir seorang lelaki gay warga Taiwan yang mempunyai hubungan dengan seorang rakyatnya, kata peguam hari ini, memberitahu media tempatan yang keputusan itu adalah satu lagi langkah ke depan untuk pasangan sejenis dalam sebuah negara konservatif itu.

Perkahwinan sejenis tidak diiktiraf undang-undang Jepun tetapi kerajaan semakin meluaskan perlindungan kepada kumpulan minoriti seksual sejak beberapa tahun lepas.

Lelaki warga Taiwan yang kini berusia 40-an itu menetap di Jepun hampir 25 tahun bersama pasangannya seorang warga Jepun yang berusia 50-an, menurut saluran televisyen nasional NHK.

Beliau ditahan pada 2016 kerana duduk melebihi visa tiga bulannya sejak awal 1990-an dan diarahkan diusir, lapor akhbar Tokyo Shimbun.

Tetapi, beliau merayu arahan kerajaan itu, mendakwa premit khas penduduk pasti dikeluarkan jika pasangan heteroseksual berada dalam situasi sama.

Tokyo membatalkan arahan pengusiran itu bulan ini dan mengeluarkan premit khas penduduk kepada lelaki itu, lapor NHK.

“Jika kami boleh berkahwin secara sah, kehidupan kami boleh berubah,” katanya kepada media tempatan pada Jumaat, menurut Tokyo Shimbun.

Pasangannya warga Jepun pula berkata: “Kehidupan dan masa depan kami kabur. Sekarang saya harap kami berdua dapat hidup dengan sikap lebih positif dan bersyukur untuk mewarnakan kehidupan kami.”

Sejak beberapa tahun lepas, kumpulan LGBT Jepun sudah berkempen untuk pengiktirafan kerajaan.

Pada Februari, 13 pasangan sejenis memfailkan saman, menuduh Tokyo mengamalkan diskriminasi kerana gagal mengiktiraf hubungan mereka.

Mereka berhujah yang mereka dinafikan hak diberikan pasangan heteroseksual dan berharap mahkamah dapat mengeluarkan penghakiman pendirian kerajaan menentang hubungan sejenis melanggar perlembagaan. – AFP, 23 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen