Indonesia tahan warga Rusia cuba seludup orang utan


Andrei Zhestkov ditahan di Lapangan Terbang Denpasar Jumaat lalu ketika melalui pemeriksaan keselamatan sebelum menaiki pesawat pulang ke Rusia. – Gambar AFP, 23 Mac, 2019.

SEORANG pelancong warga Rusia yang cuba menyeludup keluar seekor orang utan yang diberi dadah dari Indonesia menggunakan bagasinya untuk dibawa pulang dan dijadikan haiwan peliharaan ditahan di Bali, kata polis pada Sabtu.

Andrei Zhestkov ditahan di Lapangan Terbang Denpasar Jumaat lalu ketika melalui pemeriksaan keselamatan sebelum menaiki pesawat pulang ke Rusia.

Pegawai yang curiga dengan sikapnya menghentikannya dan membuka bagasinya sebelum menemui seekor orang utan berusia dua tahun sedang tidur dalam sebuah bakul rotan.

“Kami percaya orang utan itu diberi pil alahan menyebabkannya tertidur. Kami jumpa pil tersebut dalam bagasinya,” kata pegawai agensi pemeliharaan Bali Ketut Catur Marbawa kepada AFP pada Sabtu.

“(Zhestkov) nampaknya bersedia, seperti mahu membawa bayi,” tambahnya.

Lelaki berusia 27 tahun itu turut membawa susu formula dan selimut untuk orang utan tersebut, kata Marbawa.

Polis turut menemui tujuh ekor cicak dalam begnya.

Zhestkov memberitahu pihak berkuasa yang spesis dilindungi itu adalah hadiah daripada kawannya, seorang lagi pelancong Rusia yang membelinya dengan harga AS$3,000 di sebuah pasar di Jawa.

Dakwanya, kawan tersebut sudah meninggalkan Indonesia dan menyakinkan nya binatang tersebut boleh dibawa keluar.

Warga Rusia itu berdepan hukuman penjara lima tahun dan denda AS$7,000 kerana menyeludup binatang dilindungi, kata Marbawa.

Orang utan adalah spesies dilindungi, menurut Kesatuan Pemeliharaan Alam Antarabangsa, hanya wujud sekitar 100,000 ekor di seluruh dunia.

Pekerja ladang dan penduduk kampung di Indonesia menganggap binatang tersebut pengacau dan sering menyerangnya, manakala penyeludup menangkap binatang tersebut untuk dijual sebagai binatang peliharaan.

Beberapa kejadian yang membunuh orang utan itu dipersalahkan kepada petani dan pemburu.

Empat lelaki Indonesia ditahan tahun lepas kerana membunuh seekor orang utan dengan menembaknya sebanyak 130 kali menggunakan senapang. – AFP, 23 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen