SEORANG ibu yang patah hati selepas anak lelakinya jadi mangsa serangan pengganas di masjid Christuchurch meninggal dunia semalam selepas tiba di New Zealand, kata pihak berkuasa hari ini.
Wanita itu yang tidak dinamakan, adalah salah seorang daripada dua saudara mangsa yang meninggal dunia minggu ini, ketika masyarakat Islam negara itu masih bergelut untuk sembuh daripada keganasan yang menyebabkan 50 orang maut dilakukan seorang pengganas kulit putih Australia.
Hafiz Junaid, seorang imam dari bandar Auckland, utara New Zealand, memberitahu AFP yang ibu salah seorang mangsa itu tiba dari Jordan selepas tragedi itu.
Katanya, wanita tersebut sangat terkesan dengan kehilangan anak lelakinya.
“Malam tadi, beliau masuk tidur dan meninggal dunia dalam tidur,” katanya.
Jurucakap polis mengesahkan kematian itu kepada AFP, bahawa salah seorang saudara mangsa meninggal dunia kerana “isu perubatan” dan seorang lagi juga meninggal dunia, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Serangan itu juga mencederakan berpuluh yang lain, ada yang masih dalam keadaan kritikal, tetapi jumlah kematian setakat ini masih 50 orang.
Salah sebuah masjid yang diserang itu hari ini menerima lawatan sebentar pengunjung kali pertama sejak tragedi itu berlaku, sebaik sahaja polis menyerahkan kembali rumah ibadat itu kepada pengurusan.
Brenton Tarrant, 29, sudah didakwa kerana membunuh. – AFP, 23 Mac, 2019.
Komen