SELEPAS program bank makanan berlangsung di seluruh negara tahun lepas, lebih 45,000 isi rumah mendapat manfaat daripada inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Menteri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dari Ogos tahun lepas sehingga bulan lalu seramai 45,850 keluarga menerima 1,055 tan metrik makanan.
“Progam ini akan diadakan di seluruh negeri. Di Wilayah Persekutuan, kami mempunyai bank makanan di Wangsa Maju dengan Aeon sebagai rakan kongsi kami.
“Di Negeri Sembilan kita ada NSK dan di Johor kita juga bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Islam tempatan. Mereka pergi ke kampung Orang Asli dengan membawa makanan,” katanya kepada pemberita di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, hari ini.
Program Food Bank Malaysia secara rasmi dilancarkan pada Disember di Pulau Pinang yang merupakan negeri perintis program bank makanan.
Saifuddin memulakan program Mutiara Food Bank (MFB) di Pulau Pinang pada Mei 2017 ketika beliau menjadi penasihat strategik kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Beliau memperluas projek itu di seluruh negara selepas menjadi menteri tahun lepas.
Di bawah program ini, pasar raya dipelawa menderma sayur-sayuran, buah-buahan dan barang-barang yang tidak dapat dijual.
Permaidani yang masih boleh digunakan dikumpulkan setiap hari oleh bank makanan dan diedarkan kepada isi rumah memerlukan.
Di Pulau Pinang, sejak program itu diadakan dua tahun lepas, 536 tan makanan diselamatkan daripada menjadi sisa dan memberi manfaat kepada 37,000 penduduk miskin.
Hari ini, Saifuddin juga melancarkan program Food Bank Siswa di UiTM Permatang Pauh yang memanfaatkan kira-kira 1,000 pelajar miskin dari kampus dan Politeknik Seberang Perai berdekatan yang tidak mampu membeli makanan.
Kampus ini mempunyai rak menyimpan makanan kering seperti bijirin, mi segera, minuman dan biskut untuk pelajar kurang mampu.
Tempat simpanan itu juga dikendalikan dan diuruskan oleh Majlis Perwakilan Pelajar, kata menteri itu sambil menambah pengalaman itu akan mengajar mereka untuk menjadi anggota sukarelawan, nilai kemanusiaan dan melatih dalam kemahiran organisasi.
Saifuddin berkata, jika universiti itu mempunyai dapur dan keupayaannya, pada masa akan datang ia juga boleh mengendalikan makanan segar.
“Pelajar boleh memasak sendiri dan makan bersama.
“Atau kita juga boleh menghantar makanan yang dimasak dan dibungkus,” katanya.
Untuk program Bank Makanan Siswa Pulau Pinang, kedai nasi kandar di bawah Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (PPRIM) juga akan menaja makanan.
Persatuan itu juga mendermakan van kepada MFB hari ini.

Bank makanan akan diperkenalkan di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara dan merupakan lanjutan program bank makanan utama, kata Saifuddin.
Beliau berharap bank makanan kampus di Pulau Pinang akan menjadi ikutan di negeri lain seperti MFB.
“Pulau pinang menubuhkan bank makanannya dengan sokongan dan komitmen kuat kerajaan negeri.
“Pelancaran program Bank Makanan Siswa sudah bermula, kami akan pergi ke Sabah dan Sarawak pula,” katanya.
Bank makanan yang serupa juga ditubuhkan di Universiti Malaya dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kebanyakan kampus sedang merancang program baharu.
Saifuddin berkata, pihak universiti memberi sokongan kuat manakala 430 pasar raya besar di bawah kementerian sentiasa bersedia membantu memberikan sumbangan. – 23 Mac, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen