JUMLAH kematian akibat letupan kilang kimia di China meningkat kepada 64 orang hari ini dan penyelamat mendapati mangsa yang terselamat kira-kira 12 orang masih belum dijumpai di salah satu kawasan runtuhan.
Letupan yang berlaku pada Khamis lalu di timur bandar Yancheng menyebabkan beratus orang cedera dan meranapkan sebuah kawasan perindustrian.
Pasukan bomba tempatan menyelamatkan seorang lelaki berusia 40-an dari runtuhan kilang kimia itu sekitar pagi tadi, menurut satu kenyataan di pejabat rasmi Weibo.
Lelaki itu dibawa ke hospital untuk rawatan, kata kenyataan itu tanpa memberi keterangan lanjut mengenai status atau kecederaannya
Anggota penyelamat masih mencari 28 orang yang masih hilang, lapor stesen penyiaran CCTV memetic kata Datuk Bandar Yancheng, Cao Lubao.
“Identiti mereka yang maut dan hilang disahkan melalui temubual dengan ahli keluarga, lawatan ke rumah dan ujian DNA,” kata Cao kepada CCTV.
Letupan itu meruntuhkan beberapa bangunan di kawasan perindustrian itu dan menyebabkan berlaku kebakaran besar sepanjang malam.
Pasukan penyelamat juga bergegas mencari mangsa yang terselamat di runtuhan bangunan.
Difahamkan, lebih 600 orang menerima rawatan akibat kejadian letupan itu.
Menurut CCTV, di antara mereka, 34 kritikal, 60 cedera dan 28 masih hilang.
Pihak berkuasa tempatan berkata, beratus-ratus penyelamat dihantar ke tempat kejadian dan kira-kira 4,000 orang dipindahkan dari kawasan letupan.
“Beberapa orang sudah ditahan polis semalam bagi membantu siasatan berhubung letupan kilang itu,” kata pihak berkuasa tempatan.
Kilang yang terlibat dalam letupan itu adalah milik Tianjiayi Chemical, sebuah firma dengan 195 pekerja yang ditubuhkan pada 2007 yang kebanyakknya menghasilkan bahan kimia mentah termasuk anisole dan sebatian mudah terbakar.
Menurut rekod dalam talian dari biro persekitaran dan ekologi bandar Yancheng, Tianjiayi Chemical mempunyai sejarah pernah melanggar peraturan alam sekitar.
Pada 2015 dan 2017, firma itu didenda kerana melanggar peraturan sisa pepejal dan air. – AFP, 23 Mac, 2019.
Komen