LAPORAN sulit mengenai siasatan campur tangan Rusia dalam pilihan raya 2016 telah siap dan dihantar kepada Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), William Barr, lapor agensi berita Xinhua memetik Washington Post pada Jumaat.
Jabatan Kehakiman memaklumkan penyerahan laporan itu kepada Kongres lewat Jumaat oleh Peguam Khas AS, Robert Mueller, tanpa memberikan butiran lanjut.
Barr berkata beliau akan memberikan penerangan mengenai hasil laporan itu kepada Kongres paling cepat pada hujung minggu ini.
Siasatan yang diketuai Mueller itu menumpukan kemungkinan terdapatnya pakatan dalam kempen pilihan raya Trump dengan Moscow dan sama ada presiden menghalang keadilan.
Sementara itu, Rumah Putih dalam kenyataannya pada Jumaat mengatakan tidak menerima atau diberi taklimat mengenai laporan khas berkenaan.
“Tindakan seterusnya bergantung kepada Peguam Negara dan kami mengalu-alukan proses yang sedang dijalankan,” jelas kenyataan itu.
Mueller, dilantik oleh Timbalan Peguam Negara, Rod Rosenstein pada Mei 2017.
Siasatan itu mendapati terdapat 34 individu dipercayai terlibat termasuk enam syarikat bersekutu Trump dan tiga syarikat lain.
Trump berulang kali menegaskan kempennya langsung tidak mempunyai kaitan dengan Moscow dan menyifatkan siasatan itu sebagai “penipuan”.
Rusia turut menafikan sebarang campur tangan pada pilihan raya presiden 2016 itu. – Bernama, 23 Mac, 2019
Komen