SYRIA semalam meminta Majlis Keselamatan PBB menyokong resolusi mengisytiharkan bahawa Israel manarik diri dari Bukit Golan selepas Presiden Donald Trump berkata Amerika Syarikat (AS) akan mengiktiraf penjajahan Israel di wilayah itu.
Menerusi sepucuk surat, duta Syria, Bashar Jaafari, menggesa Majlis “mengambil langkah praktikal bagi memastikan ia memenuhi mandatnya dalam melaksanakan resolusinya” berkenaan Bukit Golan.
Trump melanggar dasar Timur Tengah AS apabila pada Khamis lalu beliau menulis di Twitter yang sudah tiba masanya penjajahan Israel di Bukit Golan diiktiraf.
Dalam surat itu juga, duta Syria meminta Setiausaha Agung Antonio Guterres mengesahkan pendirian PBB mengenai penjajahan Israel di Bukit Golan, yang dirampas dari Syria semasa Perang Enam Hari 1967.
Jurucakap PBB, Farhan Haq, ketika ditanya mengenai kenyataan Trump itu berkata dasar PBB adalah mengikut resolusi Majlis dan Perhimpunan Agung berkenaan status Bukit Golan.
“Resolusinya tidak berubah. Dasar kami tidak berubah dalam perkara itu,” kata Haq. – AFP, 23 Mac, 2019.
Komen