Pelarian Rohingya yang masuk Malaysia tidak akan ditangkap, kata imigresen


Low Han Shaun

Keganasan di Myanmar memaksa ratusan ribu Rohingya melarikan diri, dan mereka yang memasuki Malaysia atas sebab kemanusiaan dan mempunyai pasport tidak akan ditangkap, kata imigresen. – Gambar EPA, 11 September, 2017.

KAMI tidak akan menghalau pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada pembunuhan besar-besaran di Myanmar, kata Jabatan Imigresen Malaysia hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Mustafar Ali bagaimanapun mengatakan ini tidak bermakna pendatang haram dilepaskan sesuka hati kerana jabatan itu akan sentiasa menjejak dan menangkap mereka.

“Jika mereka masuk untuk mengelakkan daripada di bunuh, sudah tentu kami akan bertindak bagi memastikan mereka dibenarkan berada di negara ini…tidak, kami tak akan tahan mereka.

“Tetapi pada masa yang sama, sekiranya kami mendapati ada yang datang secara haram, sudah tentu kami akan tahan mereka,” kata Mustafar kepada pemberita selepas menghadiri majlis ikrar bebas rasuah jabatan itu.

Mustafar juga membezakan antara dua “kemasukan besar-besaran” Rohingya ke dalam Malaysia. Satu kumpulan disebabkan faktor kemanusiaan, dan satu lagi masuk secara haram.

“Apa yang berlaku dengan kemasukan haram berbeza dengan kemasukan sedia ada, menggunakan pasport, sudah tentu kami akan menyaring mereka yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Ada beza antara pelarian (mereka yang melarikan diri daripada dibunuh) dan pendatang ekonomi (yang datang ke negara ini untuk bekerja), mereka yang datang kerana ekonomi sudah tentu tidak dibenarkan berada di sini.

Tambahnya lagi, jabatan mempunyai operasi berterusan dikenali sebagai Ops Mega sejak 30 Jun lalu dan berjaya menangkap 11,052 pendatang haram dan 270 majikan di seluruh negara.

“Daripada jumlah ini, 99 majikan dan 3,646 pendatang haram sudah didakwa di mahkamah kerana pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen,” katanya. – 11 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen