PRESIDEN China Xi Jinping pada Jumaat mengarahkan pihak berkuasa tempatan mencegah sebarang bencana industri selepas letupan loji kimia menyebabkan 47 orang maut, ratusan cedera dan meranapkan sebuah taman perindustrian dalam bencana terbaru yang menimpa negara.
Letupan Khamis di bandar timur Yancheng, wilayah Jiangsu adalah satu daripada bencana industri paling buruk pernah dialami China, dengan Xi mengakui negara menyaksikan kemalangan besar beberapa tahun kebelakangan ini.
Xi yang sedang berkunjung ke Itali, menggesa “segala usaha” untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap dan mengenal pasti punca kemalangan itu “secepat mungkin”, menurut agensi berita rasmi Xinhua.
Majlis Negeri, Kabinet China, menubuhkan satu pasukan untuk menyiasat letupan itu, dengan Kaunselor Republik Rakyat China Wang Yong menuju ke tempat kejadian bagi mengetuai usaha menyelamat dan tindak balas, kata media negara.
Letupan itu meruntuhkan beberapa bangunan di taman perindustrian dan mengakibatkan kebakaran besar sepanjang malam, sementara para penyelamat bergegas untuk mencari mangsa yang terselamat di kawasan loji yang dimiliki sebuah syarikat dengan beberapa rekod silam.
Tingkap rumah yang terletak beberapa kilometer jauhnya juga berkecai.
“Kami tahu kami diletupkan satu hari nanti,” kata seorang wanita berusia 60 tahun bernama Xiang yang sejak sekian lama bimbang mengenai keselamatan dan pencemaran.
Lebih 600 orang menerima rawatan perubatan berikutan letupan itu, menurut kerajaan bandar.
Antaranya, sekurang-kurangnya 90 cedera parah. Ratusan penyelamat dihantar ke tempat kejadian, kata pihak berkuasa tempatan dan kira-kira 4,000 orang dipindahkan dari tapak letupan.
Di kawasan membeli-belah di Yancheng, sebuah bas menjadi pusat derma darah, dengan sekitar 20 hingga 30 orang berbaris.
Pihak berkuasa tempatan, yang sedang menyiasat punca kemalangan itu berkata, sejumlah orang yang tidak dipastikan ditahan oleh polis pada Jumaat.
Loji yang terlibat dalam letupan itu adalah milik Tianjiayi Chemical, firma dengan 195 pekerja yang beroperasi pada 2007 dan menghasilkan bahan kimia mentah, termasuk anisole, sebatian yang sangat mudah terbakar.
Tianjiayi Chemical mempunyai sejarah melanggar peraturan alam sekitar, menurut rekod dalam talian biro persekitaran dan ekologi bandar Yancheng.
Pada 2015 dan 2017, firma itu didenda kerana melanggar peraturan pengurusan sisa pepejal dan air. – AFP, 22 Mac, 2019.
Komen