POLIS Bali menembak mati seorang warga Rusia yang melakukan rompakan ganas di sebuah premis tukaran wang asing, kata pihak berkuasa pada Jumaat.
Dua lagi rakan subahat warga Rusia terbabit turut ditahan, namun beberapa orang lagi berjaya melarikan diri.
Kejadian berkenaan berlaku di pulau yang menjadi tumpuan pelancong itu selepas polis menerima panggilan kecemasan mengenai rompakan terbabit sebelum bertindak menyerbu premis berkenaan.
Tiga lelaki termasuk yang terbunuh itu menceroboh dan merompak premis tukaran wang asing dan memukul beberapa pekerja di dalamnya hingga pengsan.
Apabila terjaga, mereka diikat dan mulut mereka ditampal pita pelekat, kata polis dan menambah, pekerja terbabit kemudian berjaya meloloskan diri dan menghubungi polis.
Polis berjaya mengesan suspek yang melarikan diri namun apabila cuba menahan mereka, salah seorang suspek bertindak menyerang anggota polis.
“Anggota kami yang tidak bersenjata cuba melawan semula, namun oleh kerana situasi sangat bahaya kepada anggota kami, seorang anggota lain yang bersenjata kemudian mengambil tindakan terhadap suspek..menyebabkan suspek terbunuh,” kata ketua polis Denpasar, Ruddi Setiawan.
Kedutaan Rusia mengesahkan seorang warganegaranya ditembak mati di Bali.
“Ketika berdepan dengan polis yang cuba menahan mereka, seorang warganegara Rusia ditembak mati,” katanya menerusi Facebook.
“Dua yang lain iaitu seorang warga Ukraine dan seorang lagi warga Rusia ditahan.”
Warga Rusia yang ditahan itu turut cedera, menurut kedutaan berkenaan dan menambah empat lagi yang turut terlibat dalam jenayah itu masih bebas, namun kewarganegaraan mereka masih belum jelas. – AFP, 22 Mac, 2019
Komen