PM New Zealand terima ancaman bunuh


Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern menerima ugutan bunuh melalui Twitter. – Gambar AFP, 22 Mac, 2019.

POLIS New Zealand sedang menyiasat ugutan bunuh yang diterima Perdana Menteri, Jacinda Ardern menerusi media sosial, lapor agensi berita Xinhua, memetik media tempatan pada Jumaat.

Gambar sepucuk pistol dengan kapsyen “Awak selepas ini” dihantar kepada perdana menteri oleh seorang pengguna Twitter.

Akaun Twitter itu disekat selepas status terbabit dipaparkan lebih 48 jam susulan laporan orang ramai.

Terdapat beberapa kandungan anti-Islam dan ucapan berbaur kebencian oleh pelampau kulit putih terkandung dalam akaun sama.

Serangan keganasan di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lalu, meragut sekurang-kurangnya 50 orang dan mencederakan 50 yang lain.

Ekoran itu, Ardern berikar meminda undang-undang senjata api di negara itu.

Pada Khamis beliau mengumumkan New Zealand mengharamkan semua senjata api separa-automatik dan rifel tempur ala tentera. – Bernama, 22 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen