Menteri Luar Turki selar keputusan AS berkenaan Bukit Golan


Kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung Bukit Golan di Twitter miliknya mendapat kencaman Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu. – Gambar EPA, 22 Mac, 2019

MENTERI Luar Turki semalam mengecam Twitter Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berhubung Bukit Golan, lapor agensi berita Anadolu.

“Kedaulatan wilayah sesebuah negara adalah prinsip asas terhadap undang-undang antarabangsa,” kata Mevlut Cavusoglu menerusi Twitternya.

“Cubaan Amerika untuk mengiktiraf tindakan Israel mencabuli undang-undang antarabangsa hanya akan mencetuskan lebih banyak keganasan dan penderitaan di rantau itu.”

“Turki menyokong keutuhan kedaulatan wilayah Syria,” katanya.

Awal Khamis, Trump memuat naik kenyataan di Twitternya, ‘sudah tiba masa Amerika mengiktiraf kekuasaan Israel di Bukit Golan yang didudukinya.’

Momentum Kongres semakin rancak di Capitol Hill untuk perubahan berkenaan dan minggu lalu, Jabatan Negara Amerika buat kali pertama mengubah terminologi wilayah yang menjadi rebutan itu.

Jabatan Negara Amerika merujuk Bukit Golan sebagai kawasan yang dikawal Israel dan tidak lagi menggunakan istilah kawasan yang diduduki Israel.

Sejak sekian lama Israel mendesak Amerika mengiktiraf tuntutannya terhadap kawasan terbabit yang dirampas daripada Syria ketika Perang Enam Hari 1967.

Israel menduduki lebih dari dua pertiga kawasan Bukit Golan selepas konflik itu.

Ia bertindak merampas secara rasmi kawasan itu pada 1981 merupakan tindakan yang ditolak oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – Bernama, 22 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen