PR1MA raih RM1.24 bilion jualan rumah


Ragananthini Vethasalam

Sebanyak 4,795 unit rumah terjual susulan insentif dan diskaun istimewa sehingga 30% yang disediakan semasa kempen, sekali gus menghasilkan permintaan yang kukuh, terutama di kalangan pembeli rumah pertama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2019.

PROGRAM Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) meraih RM1.24 bilion dalam jualan di bawah Kempen Pemilikan Rumah (HOC) oleh kerajaan dalam tempoh tiga minggu pertama pada Mac dan berhasrat terus menawarkan diskaun untuk menggalakkan pembeli.

Sebanyak 4,795 unit rumah terjual susulan insentif dan diskaun istimewa sehingga 30% yang disediakan semasa kempen, sekali gus menghasilkan permintaan yang kukuh, terutama di kalangan pembeli rumah pertama.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Mohd Nazri Md Shariff, berkata agensi perumahan berkaitan kerajaan akan terus memberikan insentif dan diskaun untuk membolehkan lebih banyak orang memiliki rumah.

“Berdasarkan sambutan hangat yang kami terima, kami komited untuk meneruskan pakej istimewa yang ditawarkan semasa HOC 2019.

“Kami berharap para bakal pembeli rumah akan merebut peluang ini untuk mendapatkan rumah ideal mereka kerana kerajaan dan PR1MA memberikan insentif yang baik sebagai menggalakkan pemilikan rumah di kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

HOC adalah satu inisiatif Kementerian Kewangan dan diperkenalkan dalam Bajet 2019 untuk menangani isu harta tanah tidak terjual dan merangsang sektor perumahan. Ia juga merupakan sebahagian daripada Agenda Perumahan Negara.

Ekspo HOC 2019 bermula awal bulan ini di Ekspo Hartanah Malaysia yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 1 hingga 3 Mac.

PR1MA berkata ia akan terus memberi sokongan kepada ekspo HOC lain di Melaka, Kelantan dan Terengganu.

Ekspo HOC 2019 di Melaka bermula pada 19 Mac dan akan diteruskan sehingga 24 Mac di AEON Bandaraya Melaka. Ia akan menampilkan kira-kira 4,822 unit kediaman untuk dijual.

Kempen di Kelantan berlangsung dari 28 hingga 30 Mac di Mall Kota Baru, dan di Terengganu dari 29 hingga 31 Mac di Mesra Mall, Kemaman.

Ekspo ini dianjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kerjasama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda).

Sepanjang tempoh kempen, PR1MA mempamerkan semua projek sedia ada dan akan datang termasuk unit pangsapuri dan rumah teres.

Unit berharga antara RM100,000 hingga RM400,000 seunit, sebelum diskaun. – 22 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen