Imam Masjid Al-Noor seru dunia lawan politik kebencian


Imam Masjid Al-Noor yang terselamat dalam serangan pengganas di Christchurch, New Zealand seminggu lalu menggesa pemimpin dunia memerangi politik kebencian. – Gambar EPA, 22 Mac, 2019.

IMAM Masjid Al-Noor yang terselamat dalam serangan pengganas di Christchurch, New Zealand seminggu lalu menggesa pemimpin dunia memerangi politik kebencian.

Imam Gamal Fouda berkata, serangan yang mengejutkan dunia itu bukan sesuatu yang berlaku dengan tiba-tiba tetapi akibat daripada retorik anti Islam dan anti Muslim oleh sesetengah pemimpin politik dan media.

“Kejadian minggu lalu adalah bukti kepada seluruh dunia bahawa keganasan tiada warna kulit, tidak berbangsa dan tidak beragama,” katanya dalam khutbah Jumaat yang berlangsung serentak dengan majlis peringatan negara di Christchurch hari ini.

Ribuan umat Islam hadir menunaikan solat Jumaat di Hagley Park yang terletak berseberangan dengan masjid. – Gambar EPA, 22 Mac, 2019.

Majlis itu diadakan di Hagley Park yang terletak berseberangan dengan masjid dan disiarkan secara langsung ke seluruh negara melalui televisyen dan radio serta diikuti juga di seluruh dunia.

Majlis peringatan bermula dengan azan Zohor, disusuli tafakur selama dua minit.

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern yang hadir dengan memakai selendang sebagai tanda hormat, dalam ucapan ringkasnya berkata: “New Zealand berkabung bersama tuan-tuan dan puan-puan; kita satu.”

Serangan pengganas seminggu yang lalu membunuh 50 jemaah termasuk seorang rakyat Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, dan mencederakan 42 lain.

Tiga rakyat Malaysia cedera dan sedang dirawat.

Mangsa yang cedera dalam serangan itu turut hadir di barisan depan duduk di kerusi roda sementara ribuan hadirin yang bukan beragama Islam memenuhi bahagian belakang jemaah yang menunaikan solat Jumaat.

Zaid Mustafa yang kehilangan ayah dan abangnya dalam insiden serangan pengganas seminggu lalu turut menyertai khutbah Jumaat di Hagley Park bertentangan dengan Masjid Al Noor di Christchurch, New Zealand. – Gambar EPA, 22 Mac, 2019.

Dalam khutbahnya, Imam Gamal juga berkata serangan itu mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan solidariti rakyat New Zealand sebagai warganegara.

“Pengganas ini cuba merobek-robekkan negara kita dengan ideologi jahatnya yang telah merobekkan dunia, namun kita menunjukkan bahawa New Zealand tidak berpecah.”

Katanya lagi, mereka yang terbunuh dalam serangan itu tidak mati sia-sia tetapi dari titis darah mereka tumbuh keindahan Islam dan perpaduan.

Imam Gamal juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat New Zealand atas solidariti mereka sejak seminggu yang lalu.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada perdana menteri Ardern dan kepimpinan yang ditunjukkannya memimpin rakyat melalui episod duka itu.  – 22 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen