DUA syarikat perkapalan China yang didakwa membantu Korea Utara dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Yonhap.
Kapal terbabit ialah Dalian Haibo International Freight Co. Ltd. dan Liaoning Danxing International Forwarding Co. Ltd., menurut Jabatan Perbendaharaan pada Khamis.
Dua buah kapal berkenaan disyaki sama ada mengeksport arang batu atau terlibat dalam aktiviti pemindahan petroleum bertapis antara kapal ke kapal.
Sekatan itu juga berikutan sidang kemuncak kedua antara Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un di Vietnam bulan lalu gagal mencapai kata sepakat.
“AS dan rakan sekutu lain komited untuk mewujudkan Semenanjung Korea yang bebas senjata nuklear,” kata Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pelaksanaan penuh sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Korea Utara “penting untuk mendapat hasil yang berjaya.”
Tahun lalu sekurang-kurangnya 263 kapal tangki menghantar bekalan petroleum ke pelabuhan Korea Utara melalui pemindahan antara kapal ke kapal secara haram.
Korea Utara dipercayai mengimport 3.78 juta tong atau 7.5 kali lebih daripada jumlah dibenarkan di bawah sekatan PBB, sebanyak 500,000 tong setahun. – Bernama, 22 Mac, 2019.
Komen