PERHIMPUNAN aman solidariti kepada mangsa tragedi tembakan masjid Christchurch akan diteruskan esok selepas polis menerima notis daripada penganjurnya.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata, perhimpunan itu boleh diteruskan di Dataran Merdeka bermula 7 pagi hingga 11 pagi.
“Kami menerima notis dan mereka mematuhi Akta Perhimpunan Aman, justeri kami berikan kebenaran kepada penganjur untuk perhimpunan esok,” kata Fuzi kepada pemberita di Pusat Latihan Polis, Setapak.
Notis berhubung perhimpunan itu dihantar kepada polis beberapa hari lalu, kata sumber dari balai polis Dang Wagi kepada The Malaysian Insight sebelum ini.
“Kami sudah terima notis dan kami akan membantu perhimpunan itu,” kata sumber berkenaan.
Perhimpunan itu merupakan gesaan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa, yang berkata ia adalah untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia menolak ideologi kebencian dan bersolidariti bersama mangsa serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand, minggu lalu.
Menurut Mujahid, perhimpunan itu diputuskan pada mesyuarat khas bagi keamanan dan keharmonian dalam pelbagai agama dan masyarakat etnik di Kuala Lumpur.
Jumaat lalu, dua masjid di Christchurch diserang oleh seorang pelampau kulit putih yang menyebabkan 50 orang maut.
Remaja Malaysia berusia 17 tahun, Mohd Haziq Mohd Tarmizi merupakan antara yang terbunuh dalam tragedi itu.
Berpuluh lagi yang cedera termasuk tiga warga Malaysia, salah seorang daripadanya adalah bapa kepada Haziq, Mohd Tarmizi Shuib. – 22 Mac, 2019
Komen