LAUNGAN Azan kedengaran di seluruh New Zealand hari ini diikuti dengan bertafakur selama dua minit, sebagai mengingati kejadian mengerikan seminggu lalu apabila seorang pengganas kulit putih menembak mati 50 jemaah di dua masjid di Christchurch.
Ketika azan dikumandangkan di seluruh negara, ribuan rakyat termasuk Perdana Menteri Jacinda Ardern dan mangsa yang terselamat berdiri di tempat berdepan dengan masjid di mana kejadian tembakan itu bermula, ketika 4.5 juta rakyat negara itu berdiam.
New Zealand masih dalam keadaan terkejut susulan pembunuhan dilakukan Brenton Tarrant, 28, warga Australia yang berharap untuk mencetuskan peperangan etnik menerusi serangannya itu.
Tetapi warga Kiwi yang terkejut dengan insiden itu memberi respons yang berbeza, dengan limpahan kasih sayang, ramai yang mendekati jiran Muslim mereka pada hari ini, membawa suasana mengharukan di negara itu.
Seorang bilal berkopiah putih melaungkan azan untuk solat Jumaat hari ini ketika ribuan yang lain mendengarnya dari Taman Hagley di Christchurch, berdepan dengan Masjid Al Noor.
Negara itu bertafakur dua minit, dengan orang ramai berkumpul di negeri lain termasuk Auckland dan Wellington.
Di negara jirannya, Australia orang ramai di jalanan dan di dalam kedai berhenti seketika menghormati saat itu, ketika azan dilaungkan. – AFP, 22 Mac, 2019.
Komen