Hormati undang-undang Singapura gantung rakyat Malaysia, kata bekas KPN


Asila Jalil

Bekas ketua polis negara Musa Hassan berkata, hukuman mati ke atas Michael anak Garing di Penjara Changi adalah mengikut undang-undang negara yang patut dihormati. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Mac, 2019.

RAKYAT Malaysia tidak seharusnya campur tangan dalam sistem perundangan Singapura dengan menentang pelaksanaan hukuman mati ke atas rakyat Malaysia pagi tadi, kata bekas ketua polis negara, Musa Hassan.

Musa berkata, hukuman mati ke atas Michael anak Garing di Penjara Changi adalah mengikut undang-undang negara yang patut dihormati.

“Terdapat kenyataan yang dibuat oleh beberapa menteri kita bahawa mereka mahu menyelamatkan nyawa Michael dan dia tidak seharusnya dikenakan hukuman gantung,” katanya.

Menurutnya, beliau berpendapat rakyat Malaysia seharusnya menghormati undang-undang di negara jiran.

“Kita tidak boleh terlibat dalam sistem undang-undang mereka.

“Kita juga tidak mahu negara lain terlibat dalam sistem kita, jadi kita seharusnya saling menghormati antara satu sama lain,” katanya pada sidang akhbar semasa perbincangan meja bulat mengenai hukuman mati di Kuala Lumpur hari ini.

Michael dijatuhkan hukuman gantung pada 2015 oleh Mahkamah Tinggi Singapura.

Difahamkan Michael sudah memeluk agama Islam di dalam penjara dan memilih nama Muhammad Arif Sufi.

Pada 20 Mac, ibu bapanya Ensiring Garman dan Garing Kanyan menghantar petisyen permohonan kepada presiden Singapura meminta agar hukuman Michael digantikan dengan penjara seumur hidup.

Michael yang ketika itu berusia 21 tahun, seorang daripada anggota geng rompakan di Jalan Kallang pada Mei 2010 yang menyebabkan kematian seorang pekerja binaan, Shanmuganathan Dilludurai.

Tiga yang lain cedera parah.

Musa memberitahu pemberita bahawa pada 1986 dua warga Australia, Kevin Barlow dan Brian Chambers dihukum mati di Malaysia kerana mengedar dadah.

Kedua-dua mereka merupakan orang barat pertama yang dikenakan tindakan undang-undang di Malaysia atas kesalahan dadah.

Beliau berkata, arahan untuk menangkap suspek di Malaysia dibuat oleh kerajaan Australia ketika itu.

“Suspek membawa masuk dadah ke negara ini dan meninggalkan Australia ketika dia ditangkap.

“Di Australia tiada hukuman mati dan rakyat sana mengatakan kedua-dua lelaki itu harus dihantar kembali ke Australia dan berdepan dengan undang-undang di negara itu,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan Australia kemudian menghormati hak Malaysia untuk menghukum warga mereka mengikut undang-undang di negara ini. – 22 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen