Polis NZ lawat rumah penembak masjid sebelum beri lesen senjata


Brenton Tarrant membeli secara sah sejumlah senjata termasuk raifal semi-automatik dan senapang patah digunakan dalam serangan ke atas dua masjid di Christchurch pada minggu lalu. – Gambar EPA, 22 Mac, 2019.

POLIS New Zealand hari ini mendedahkan mereka bertemu penembak masjid, Brenton Tarrant di rumahnya pada Oktober 2017 sebelum memberi lesen yang membolehkannya membeli senjata digunakan dalam insiden tembakan Jumaat lalu.

Pengganas warga Australia itu memohon lesen senjata api pada September 2017 dan pasukan pemeriksa senjata polis mengunjungi rumahnya di bandar selatan Dunedin bulan berikutnya, kata seorang jurucakap polis.

“Satu daripada langkah memperoleh lesen senjata api ialah lawatan rumah untuk bertemu pemohon dan memeriksa kawalan keselamatan di kediaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Pasukan polis melakukan lawatan pada Oktober, menemu ramah Tarrant dan menjalankan “pemeriksaan keselamatan” di rumahnya.

“Selepas itu, semua maklumat diperoleh disemak dan lesen diluluskan pada November 2017,” kata polis.

Tarrant juga memberi nama dua penduduk tempatan sebagai rujukan yang turut ditemu ramah oleh polis dan memenuhi syarat proses, katanya tanpa mengenalkan dua individu terbabit.

Pihak berkuasa berkata Tarrant membeli secara sah sejumlah senjata pada Disember 2017, termasuk dua raifal semi-automatik, dua senapang patah dan senjata digunakan dalam serangan 15 Mac ke atas dua masjid di sini, menyebabkan 50 orang maut dan 50 yang lain cedera.

Tarrant ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh. Enam hari selepas serangan, Perdana Menteri Jacinda Ardern mengumumkan larangan segera senjata semi-automatik ala tentera dan raifal serta alat lain yang boleh digunakan untuk mengubah suai senjata. – AFP, 22 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen