Polis tahan bintang K-pop rakam, kongsi video seks


Jung Joon-young (tengah) diiringi polis semalam. Penyani dan penulis lirik itu mengaku merakam dirinya melakukan hubungan seks dan mengongsikan rakaman itu tanpa persetujuan pasangannya. – Gambar EPA, 22 Mac, 2019.

BINTANG K-pop Jung Joon-young ditahan polis, beberapa jam selepas memohon maaf kerana merakam dan mengedar video seks haram.

Skandal video tersebut telah menggemparkan industri hiburan Korea Selatan.

Minggu lepas, penyanyi dan penulis lirik itu mengaku merakam dirinya melakukan hubungan seks dan mengongsikan rakaman itu tanpa persetujuan pasangannya.

Rakaman video Jung bersama sekurang-kurangnya sepuluh wanita itu dikongsi melalui ruangan sembang atas talian pada 2015. Antara yang menerima video itu ialah anggota kumpulan Big Bang, Seungri.

Agensi Yonhap melaporkan, Mahkamah Daerah Seoul Tengah mengeluarkan waran tangkap semalam, beberapa jam selepas Jung mengadakan sidang media dan memohon maaf kerana melakukan perbuatan itu.

Jung, 30, digari dan dibawa ke balai polis untuk menunggu keputusan mahkamah berkenaan waran tangkapannya.

Jung pada minggu lepas mengumumkan akan bersara dari industri hiburan. Turut membuat pengumuman sama ialah dua penyanyi lelaki yang mengaku menonton video tersebut. – AFP, 22 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen