WANITA di Christchurch memakai hijab sebagai tanda keamanan dan solidariti hari ini, seminggu selepas insiden pengganas kulit putih membunuh 50 umat Islam di dua masjid di bandar selatan New Zealand itu.
Rafaela Stoakes, 32, ibu dua anak berkata memakai tudung memberikannya satu pengalaman dan merasai sendiri bagaimana menjadi golongan minoriti di negara itu.
Hari ini beliau menutup hampir keseluruhan rambutnya menggunakan sehelai selendang berwarna merah putih, diselempangkan dengan kemas di bawah dagunya dan dimasukkan dalam jaket mendaki warna hitam.
Beliau antara ramai lagi wanita di New Zealand hari ini yang menyertai #HeadScarfforHarmony, untuk menunjukkan satu pendirian membantah kebencian dibawa lelaki Australia yang membunuh berpuluh-puluh jemaah itu.
Tudung kepala juga dipakai sebagai tanda hormat oleh anggota polis wanita dan sukarelawan bukan Islam yang mengawal orang ramai di sekitar Christchurch.
Ramai yang kali pertama memakai tudung.
“Sungguh menakjubkan bagaimana berbezanya perasaan saya pagi ini,” kata Stoakes.
“Ada yang melihat saya dengan wajah keliru dan ada sedikit yang agresif.
“Saya merasa bangga untuk memberi penghormatan kepada rakan Muslim saya, tetapi pada masa sama saya rasa sedikit lemah dan keseorangan kerana hanya saya seorang memakai hijab.
“Tentunya mereka yang memakai tudung setiap hari perlu ada rasa berani.”
Wanita-wanita ini membanjiri Twitter, Facebook dan media sosial lain untuk menyebarkan mesej bersama imej mereka yang bertudung.
Kate Mills Workman, 19, pelajar dari Wellington, memuat naik selfie dirinya di Twitter memakai selendang hijau. – AFP, 22 Mac, 2019.
Komen