1,200 pelajar UiTM Permatang Pauh akan dapat manfaat program bank makanan


Looi Sue-Chern

Mutiara Food Bank (MFB) Pulau Pinang yang menjalankan prorgram bank makanan di Pulau Pinang sejak 2017, akan mengumpul makanan yang disumbangkan ini dan menghantarnya ke kampus UiTM Permatang Pauh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2019.

SERAMAI 12,000 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah akan menerima manfaat daripada program Food Bank Siswa, iaitu bank makanan di kampus yang akan dilancar esok di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Pelajar-pelajar yang dipilih dari kumpulan B40 ini, akan mendapat kemudahan mendapatkan makanan seperti mi kering, biskut, minuman panas segera dan bijirin di pantri kampus mereka.

Pegawai Operasi Mutiara Food Bank (MFB) Pulau Pinang Zakwan Mustafa Kamal berkata kampus UiTM di Permatang Pauh mempunyai 1,450 pelajar dari keluarga B40.

“Pantri ini akan diuruskan oleh badan wakil-wakil pelajar. Makanan akan disumbangkan oleh pasar raya besar seperti Tesco dan Aeon di Pulau Pinang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

MFB, yang menjalankan prorgram bank makanan di Pulau Pinang sejak 2017, akan mengumpul makanan yang disumbangkan ini dan menghantarnya ke kampus UiTM Permatang Pauh.

Kampus itu adalah yang ketiga selepas Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia yang akan dipilih bagi projek bank makanan Persekutuan. Universiti yang seterusnya akan dipilih ialah Universiti Sains Malaysia, juga di Pulau Pinang.

Timbalan Zakwan, Shameer Sulaiman berkata pelajar di UiTM Permatang Pauh juga akan menerima bungkusan makanan sekali dalam seminggu di bawah program Food Bank Siswa ini.

Makanan yang siap dimasak ini akan disumbangkan oleh restoran-restoran nasi kandar di bawah Persatuan Pengusaha Restoran Islam Malaysia (PRIM), yang menaja projek ini.

Program Food Bank Siswa adalah lanjutan program bank makanan yang memberi manfaat kepada keluarga miskin di seluruh negara.

Makanan akan disumbang oleh pasar raya besar seperti Tesco dan Aeon di Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2019.

Menurut Zakwan, idea untuk mewujudkan program ini dibentangkan di Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Idea ini timbul selepas banyak laporan menunjukkan ramai pelajar dari keluarga B40 sentiasa berlapar.

Organisasi berpengalaman, Kencara Soup Kitchen dan Food Aid Foundation, dijadikan rakan strategik untuk menggerakkan program Food Bank Siswa ini.

Zakwan yang juga ahli lembaga Food Bank Malaysia, berkata program bank makanan untuk siswa ini tidak lama lagi akan diperluaskan di seluruh negara.

“Projek ini masih di peringkat permulaan. Kita kena tengok dulu bagaimana kampus-kampus terpilih ini kendalikan program.

“Kita nak tengok juga komitmen mereka, sebab pada akhirnya nanti program ini akan diuruskan sendiri oleh pelajar,” katanya.

Zakwan juga berkata ada juga cadangan untuk mengadakan pertandingan antara universiti untuk mencari model perniagaan terbaik bagi mengurus program Food Bank Siswa. Ia bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan.

Program bank makanan itu secara idealnya boleh menjana pendapatan sendiri tanpa terus bergantung kepada kerajaan pada jangka masa panjang, katanya.

“Kita boleh jemput tokoh korporat jadi hakim, dan beri ganjaran mungkin RM100,000 kepada universiti yang menang. Universiti yang menang ini kemudian boleh dijadikan model contoh kepada universiti lain.

“Cadangan-cadangan ini masih di peringkat Food Bank Malaysia. Jika kementerian (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) luluskan, baru kita akan laksanakan.” – 22 Mac, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen