Hampir 100 maut insiden feri karam di Iraq


Waris menunggu di bilik mayat hospital untuk menuntut jenazah ahli keluarga yang meninggal dunia dalam insiden bot karam di sungai Tigris, semalam. – Gambar EPA, 22 Mac, 2019.

HAMPIR 100 maut semalam, dengan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak selepas sebuah feri penuh sesak dengan keluarga yang ingin menyambut Tahun Baharu Kurdis karam di sungai Tigris, kubu kuat bekas militan Daesh di Mosul, dalam insiden pasca perang terburuk di Iraq.

Perdana Menteri Adel Abdel Mahdi mengisytiharkan negara berkabung tiga hari selepas mengunjungi tapak tragedi di tebing sungai Tigris, di utara Iraq.

Beliau mengarahkan siasatan segera dilakukan bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab.

Feri itu penuh sesak dengan pelancong tempatan menyeberangi sungai Tigris ke kawasan perkelahan popular untuk menyambut Nowruz, Tahun Baharu Kurdis yang disambut pada awal musim bunga.

Kemalangan berlaku ketika feri terlebih muatan itu berpatah balik, disambut serentak dengan sambutan Hari Ibu di Iraq.

Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan angka kematian baharu berkata, 94 maut manakala 55 lain diselamatkan, kata jurucakapnya Saad Maan dengan sekurang-kurangnya 19 kanak-kanak lemas.

Terdahulu, Adel berkata 61 wanita maut dalam nahas itu.

“Ia bencana, tiada siapa menjangkanya. Ada ramai penumpang dalam bot terutama wanita dan kanak-kanak,” kata seorang lelaki.

Sumber keselamatan berkata, air pasang dan bot terlebih muatan melebihi 100 orang, menjadi antara punca bencana itu.

“Bot karam kerana terlalu ramai penumpang di dalamnya,” kata seorang pegawai keselamatan. – AFP, 22 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen