Permintaan kerja bidang IT di Malaysia berkembang, tapi pekerja kemahiran kurang


Ragananthini Vethasalam

Laporan LinkedIn mendapati berlaku peningkatan permintaan kerja yang memerlukan kecekapan digital selain kemahiran insani, dalam tempoh lima tahun lalu di Malaysia. – Gambar EPA, 22 Mac, 2019.

PEKERJAAN banyak di Malaysia tetapi jumlah mereka yang berbakat agak kurang, menurut laporan LinkedIn yang mendapati peningkatan permintaan kerja yang memerlukan kecekapan digital selain kemahiran insani, dalam tempoh lima tahun lalu.

Laporan Pekerjaan Baharu di Malaysia 2019 LinkedIn mendapati pekerjaan paling banyak yang menyaksikan pertumbuhan terbesar dalam tempoh lima tahun dari 2013-2017 ialah saintis data, full stack engineers (membangunkan aplikasi kombinasi front-and back-end web), drive test engineers (dalam rangkaian telekomunikasi), pereka pengalaman pengguna (UX) dan penulis kandungan.

Portal pekerjaan dan perniagaan itu berkata ia menganalisis jutaan jenis pekerjaan disenaraikan penggunanya di Malaysia bagi tahun-tahun berkenaan dan mendapati walaupun permintaan untuk bakat digital tumbuh dengan pesat, terdapat bekalan yang agak rendah.

Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (Pikom) turut bersetuju, dan dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight, berkata kerajaan perlu menangani masalah kekurangan pekerja berbakat yang semakin merosot di negara ini.

Ini kerana potensi pertumbuhan industri dalam sektor ICT menyumbang 18% kepada keluaran dalam negeri kasar 2017.

Bagaimanapun Pikom berkata pada masa sama buruh berkemahiran Malaysia semakin berkurangan, walaupun jika sedikit saja 1% dalam tempoh tujuh tahun kepada 18% pada 2017, memetik Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0.

Pikom juga memetik Laporan Digital Frost & Sullivan 2017, yang mengatakan 66% daripada 435 syarikat dikaji selidik berdepan kekurangan pekerja berbakat sementara pekerjaan dalam industri digital diramalkan meningkat 15% dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Peningkatan permintaan terhadap pekerja berbakat didorong oleh peluasan perniagaan, tetapi dengan persaingan daripada negara di seluruh dunia dan rantau, Pikom berkata Malaysia akan mendapati sukar untuk mencari pekerja berkemahiran pada masa depan.

Dalam penerangan LinkedIn tentang lima pekerjaan IT paling penting, ia berkata saintis data menganalisis dan mentafsirkan data yang dikumpul oleh perniagaan, sementara full stack engineers membantu perniagaan berubah kepada digital, seperti membangunkan aplikasi dan laman web, menggunakan kemahiran teknikal seperti website server hosting dan ciptaan U, selain kemahiran insani seperti pengurusan projek.

Drive test engineers menggunakan sistem pengumpulan data terkini untuk mengumpul maklumat, pada masa yang sama, menguji, mengenal pasti dan menyelesaikan masalah dalam syarikat telekomunikasi.

Sementara pereka UX menambah baik sesuatu aplikasi, membangun laman web atau memudahkan penggunaan sesuatu produk. – 22 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen