Bukit Mertajam ditimbuni sisa sampah haram


Looi Sue-Chern

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim (dua kanan) dan Adun Machang Bubok, Lee Khai Loon (kanan) bersama pegawai MPSP di tempat pembuangan sampah haram hari ini. - Gambar The Malaysian Insight, 21 Mac, 2019.

PEMILIK tanah dan pihak bertanggungjawab dalam kegiatan pembuangan sisa haram tidak dapat lari dari undang-undang, kata Steven Sim hari ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata, pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mencemarkan alam sekitar.

Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, Pulau Pinang berdepan masalah tapak pembuangan sampah yang disifatkan sebagai kes terbesar yang pernah dihadapi Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP).

Tempat pembuangan sampah haram di Bukit Mertajam dilaporkan sebesar saiz enam padang bola sepak.

Seorang pegawai MPSP berkata, tanah itu yang dahulunya merupakan lombong pasir terdiri daripada sembilan lot berukuran hampir 17 hektar.

Tiada kompromi

Steven berkata, pihak berkuasa tempatan sudah mengenal pasti pemilik lot itu.

“Akan ada tindakan tegas diambil. Kepada dalang termasuk pemilik tanah, jangan fikir anda boleh melarikan diri dari undang-undang.

“Walaupun kes ini tidak seperti di Sungai Kim Kim, pencemaran oleh orang yang tidak bertanggungjawab boleh membahayakan penduduk,” katanya merujuk kepada insiden pembuangan sisa kimia baru-baru ini di Pasir Gudang, Johor yang menyebabkan ramai dimasukkan ke hospital.

“Tidak akan ada kompromi. Kami tidak akan mengambil ringan hal ini. Bagi mereka yang bertanggungjawab, saya beri amaran untuk segera menyelesaikannya.

“Kerajaan tidak akan membiarkannya begitu sahaja. Kami akan cari penyebab dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat,” katanya ketika melawat tapak pembuangan sampah petang tadi.

MPSP sudah mengeluarkan sembilan notis terhadap pemilik tanah – tiga untuk pengurangan gangguan, satu untuk merobohkan struktur haram, dua operasi perniagaan tanpa lesen dan tiga kerja tanah haram.

Pemilik tanah juga diperintahkan untuk membersihkan tapak sampah dalam masa 20 hari, membuang sampah di lokasi tepat yang ditetapkan oleh MPSP dan mengembalikan keadaan tanah kepada keadaan asalnya.

Pihak berkuasa tempatan sedang mengawasi tapak yang mana kawasan sekitarnya dikelilingi pokok kelapa sawit dan ladang ayam.

Lori kini dihalang dari memasuki kawasan itu untuk membuang lebih banyak sisa sampah haram.

Pagi tadi, MPSP sudah menghalang sebuah lori dan mengepung kenderaan berkenaan dari memasuki kawasan berkenaan. – 21 Mac, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen