SEKURANG-KURANGNYA enam terbunuh dan berpuluh cedera dalam letupan besar menggegarkan timur China, semalam.
Ledakan berlaku kira-kira jam 2.50 petang waktu tempatan di sebuah kilang yang dikendalikan oleh Tianjiayi Chemical di Yancheng, wilayah Jiangsu, kata pegawai bandaraya di akaun rasmi Weibo.
Ia merupakan insiden perindustrian terkini yang mengegarkan China beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketika letupan berlaku, gempa bumi China dengan kekuatan 2.2 magnitud menggegarkan Lianyungang sebuah bandar berhampiran kawasan ledakan letupan di Yancheng.
Rakaman CCTV menunjukkan tingkap rumah kawasan berhampiran berterbangan akibat letupan.
Pandangan udara di kawasan letupan menunjukkan kemusnahan teruk di kawasan perindustrian di mana kebakaran masih berlaku.
Wartawan mengatakan asap beracun datang dari tapak letupan.
Penduduk yang cedera berhampiran tapak letupan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, menurut pihak berkuasa tempatan.
Kakitangan perubatan dan dari keselamatan awam serta bomba dihantar ke tempat kejadian.
Kemalangan industri adalah perkara biasa di China di mana peraturan-peraturan keselamatan kerap dikuatkuasakan.
Pada November, trak yang membawa bahan kimia mudah terbakar meletup di pintu masuk kilang kimia di bandar China utara yang akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 sehingga membunuh 23 orang dan mencederakan 22 orang lain.
Julai lalu, letupan di sebuah kilang kimia di barat daya wilayah Sichuan menyebabkan 19 orang mati dan 12 cedera.
Syarikat itu didapati menjalankan pembinaan haram yang tidak lulus pemeriksaan keselamatan, menurut pihak berkuasa tempatan.
Pada 2015, letupan kimia gergasi di sebuah kilang simpanan kontena membunuh sekurang-kurangnya 165 orang di bandar pelabuhan utara Tianjin.
Letupan itu menyebabkan lebih AS$1 bilion (RM4.1 bilion) kerosakan dan mencetuskan kemarahan meluas di atas kekurangan ketelusan mengenai penyebab kemalangan serta kesan ke atas alam sekitar. – AFP, 21 Mac, 2019.
– AFP, 21 Mac, 2019.
Komen