Azan berkumandang seluruh New Zealand pada Jumaat


Masjid Al Noor akan dibuka semula pada Jumaat ini, dan azan akan dilaungkan di seluruh New Zealand tanda berkabung mengenang mangsa serangan pengganas terburuk dalam sejarah moden negara itu. – Gambar AFP, 21 Mac, 2019.

MASJID Al Noor yang menjadi sasaran serangan pengganas pada Jumaat lalu akan dibuka semula lusa untuk solat Jumaat, kata Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern.

Beliau juga mengumumkan laungan azan akan disiarkan secara langsung pada hari itu dan seluruh negara akan berkabung selama dua minit untuk memperingati mangsa yang gugur.

Kesemua kawasan masjid akan dikawal rapi oleh pasukan keselamatan untuk solat Jumaat itu, katanya lagi seperti dilaporkan media hari ini.

Pasukan polis juga bekerja keras untuk mengumpulkan bahan bukti bagi siasatan kes serangan tersebut untuk membolehkan jemaah kembali ke masjid untuk beribadan, katanya.

Satu lagi masjid yang diserang, di Linwood juga akan dibuka.

Ribuan umat Islam dijangka akan mengunjungi masjid Al Noor, yang menyaksikan jumlah kematian paling besar dalam serangan oleh pelampau kulit putih itu.

Seorang suspek warga Australia, Brenton Tarrant, 28, yang turut membuat siaran langsung di Internet semasa melakukan serangan tersebut, kini didakwa atas tuduhan membunuh.

Lelaki itu akan kembali ke mahkamah pada 5 April dan dijangka akan menghadapi lebih banyak tuduhan.

Seorang warga Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang dilaporkan hilang pada hari serangan disahkan meninggal dunia semalam.

Muhammad Haziq adalah anak kedua Mohd Tarmizi Shuib, 42, rakyat Malaysia yang parah dalam serangan di Masjid Al Noor.

Dua lagi yang cedera adalah Rahimi Ahmad, 39, dari Kampung Binja, Bayan Lepas dan Muhammad Nazril Hisham Omar, 46, dari Shah Alam. – 21 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen