Conteng gambar presiden, pelajar Burundi dipenjara


Burundi berdepan keadaan kacau bilau sejak Presiden Pierre Nkurunziza memenangi pilihan raya untuk kali ketiga pada 2015. – Gambar EPA, 21 Mac, 2019.

TIGA pelajar di Burundi dipenjara dan sedang menunggu perbicaraan gara-gara menconteng gambar Presiden Pierre Nkurunziza di dalam buku teks, kata aktivis hari ini.

Remaja berusia 15, 16 dan 17 tahun itu bakal berdepan hukuman penjara lima tahun kerana menghina ketua negara jika didapati bersalah.

Hakim berkata, ketiga-tiga remaja itu didakwa kerana menghina pemimpin negara dan mengarahkan mereka diletakkan di penjara di utara Burundi di Ngozi sementara menunggu perbicaraan.

Ketiga-tiga mereka ditahan sejak 12 Mac lalu bersama tiga remaja perempuan lain seorang remaja lelaki berusia 13 tahun.

Remaja lelaki itu dibebaskan dengan segera kerana di bawah umur tanggungjawab jenayah manakala tiga remaja perempuan itu dibebaskan tanpa ikat jamin.

Tiga pelajar perempuan itu didapati menconteng gambar Pierre di dalam lima buku teks milik sekolah mereka tetapi guru mengatakan buku itu dikongsi dalam kalangan semua pelajar kerana tidak semua mampu mempunyai buku sendiri.

Sumber perundangan mengatakan kes itu sangat sensitif dan ia diselia secara langsung oleh peguam negara.

Tidak ada tarikh bila ketiga-tiga mereka akan berdepan perbicaraan tetapi bapa kepada salah seorang remaja mengatakan anaknya ‘terlalu takut untuk makan’, menurut Lewis Mudge dari Human Rights Watch.

Pada 2016, beberapa pelajar sekolah dihantar menjalani hukuman di penjara kerana melukis gambar presiden dan beratus-ratus murid diusir sehingga mencetuskan bantaran antarabangsa.

Burundi berdepan keadaan kacau bilau sejak Pierre memenangi pilihan raya untuk kali ketiga pada 2015.

Keadaan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 1,200 penduduk maut dan lebih 400,000 orang melarikan diri di antara April 2015 hingga Mei 2017, menurut anggaran oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang membuka satu siasatan.

“Dengan begitu banyak jenayah di Burundi, lebih tragis lagi kanak-kanak turut didakwa kerana melukis gambar presiden yang langsung tidak mendatangkan bahaya.

“Pihak berkuasa harus memberi tumpuan kepada penyerang pelaku pelanggaran hak yang lebih serius dan bukannya memenjarakan murid sekolah hanya kerana melukis ‘doodle’,” katanya. – AFP, 21 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen