ISTERI Pastor Raymond Koh menafikan mengetahui kegiatan penukaran agama dilakukan suaminya di utara Malaysia.
“Saya terkejut, kerana ini kali pertama saya mendengar mengenainya. Tidak kira apa yang berlaku (merujuk kepada dakwaan aktiviti percubaan menukar agama dilakukan Koh) tidak ada justifikasi menculik tanda kerelaan,” kata isteri Koh, Susanna Liew memberitahu The Malaysian Insight.
Liew berkata demikian, susulan laporan akhbar berkenaan kenyataan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar yang pihak menerima laporan mendakwa Koh cuba mempengaruhi beberapa belia di Kangar, Perlis menukar agama mereka kepada Kristian pada 19 dan 20 Januari.
“Kami tidak tahu tentang berita itu.”
Beliau bagaimanapun enggan menjawab ketika ditanya sama ada mengetahui pemergian suaminya ke Perlis.
Pada 13 Februari, Koh diculik daripada kenderaannya oleh sekumpulan lelaki pada waktu pagi di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya.
Kejadian itu berjaya dirakam CCTV yang menunjukkan 15 lelaki menaiki tiga SUV hitam melakukan penculikan dalam beberapa saat.
Kereta Koh, Honda Accord berwarna perak dengan nombor pendaftaran ST 5515D, masih hilang.
Kehilangannya pertama kali dilaporkan ahli keluarga kepada polis yang mengklasifikasikan kes itu sebagai laporan orang hilang.
Bagaimanapun, beberapa hari kemudian, apabila rakaman CCTV penculikan Koh dimuat naik di YouTube, anaknya membuat laporan polis kedua, menyatakan ayahnya diculik dengan niat hendak dibunuh.
Beliau juga memberitahu polis bapanya menerima dua peluru melalui pos pada 2011 selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu acara di Gereja Damansara Utama Methodist (DUMC) yang turut dihadiri orang Islam.
“Laporan pertama dibuat anak saya adalah mengenai kehilangan beliau yang kurang serius dan masa itu kami tidak mempunyai rakaman CCTV. Kami membuat laporan kedua selepas melihat rakaman CCTV yang dengan jelas menunjukkan beliau diculik sekumpulan lelaki dan dilakukan secara profesional. Itulah sebabnya kami bimbang akan akan dibunuh.”
Anak Koh, Jonathan, membuat laporan polis pada 14 dan 27 Februari.
Penculikan Koh juga menyebabkan keluarganya bimbang akan keselamatan mereka dan nasib yang mungkin berlaku kepada mereka.
“Sejak kejadian itu kami amat berhati-hati. Saya tidak membenarkan anak-anak keluar dan jika mereka berbuat demikian, mereka perlu ditemani rakan atau saudara. Kami juga berpindah rumah. Kami bimbang jika suami saya boleh diculik pada siang hari, perkara sama boleh berlaku kepada kami,” katanya.
Liew mempunyai dua anak perempuan dan seorang lelaki.
Mengimbas beberapa minggu selepas penculikan Koh, beliau berasa marah dan kecewa dengan kekurangan maklumat mengenai keberadaan suaminya.
Liew juga berharap pihak polis akan sentiasa memaklumkan kepada mereka mengenai kemajuan siasatan.
“Kali terakhir kami bercakap dengan ketua polis negara pada 23 Mac dan beliau memberi jaminan pihak polis sedang melakukan segala-galanya.
“Sejak itu kami terpaksa menelefon polis untuk mendapatkan maklumat terkini dan setiap kali itu kami mendapat jawapan sama iaitu ‘tiada perkembangan terbaru’,” katanya.
Keluarga juga menawarkan ganjaran RM100,000 bagi sebarang maklumat mengenai Koh.
Sejak kehilangan Koh, mereka sekeluarga menerima sokongan kuat daripada banyak kumpulan Kristian dan juga bukan Kristian.
Liew mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menganjurkan doa vigil untuk suaminya yang kebanyakannya diadakan di Lembah Klang. Bagaimanapun, baru-baru ini, mereka juga menghadiri satu sesi di Kota Kinabalu, Sabah.
“Ini adalah satu cara untuk memastikan isu ini terus hidup.”
Koh menubuhkan Harapan Komuniti pada 2004 sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan bagi menyokong usahanya menolong mereka yang memerlukan bantuan dan persahabatan, tanpa mengira kaum, agama atau status sosial.
Dengan bantuan The Body Shop Foundation UK, beliau menubuhkan sebuah pusat bilik bacaan umum dan tuisyen dipanggil Teratak Sinar di Kuala Muda dan Inspirasi KL di Sri Sentosa, yang kemudiannya berpindah ke Taman Sri Manja, sebagai pusat pembelajaran dan ruang bagi pelajar yang memerlukan.
Dalam dekad yang lalu, kerja amal Koh berjaya membina dan menguruskan Harapan Komuniti sebagai pusat sumber komuniti.
Di sinilah beliau mengumpulkan ramai sukarelawan dan pekerja sosial untuk membangun dan menjalankan program untuk berkhidmat kepada pelbagai pihak yang memerlukan.
“Semua perkara kini berbeza sejak penculikan beliau. Kami hilang sokongan dan kehadirannya. Tidur sentiasa tidak lena, tertanya-tanya di mana beliau dan jika sesuatu tidak diingini berlaku kepadanya.”
“Kami akan terus menunggu kepulangannya. Anak perempuan saya juga percaya beliau masih hidup dan memberitahu bapanya datang dalam mimpinya. Kami menaruh harapan.” – 7 April, 2017.
Komen