POLIS Itali hari ini berjaya menyelamatkan 51 murid sekolah yang dijadikan tebusan oleh pemandu bas sekolah mereka.
Pemandu terbabit juga membakar bas sekolah yang dinaiki murid-murid itu sebagai tanda bantahan terhadap kematian pendatang di Mediterranean.
Ada di antara mereka diikat semasa kejadian selama 30 minit itu. Ia berjaya dihentikan selepas salah seorang daripada murid berjaya membuat panggilan kecemasan.
Bas itu merempuh sebuah kereta dan kemudian dihentikan polis. Tiada kecederaan serius dilaporkan.
Pemandu bas itu, Driver Ousseynou Sy, 47, adalah rakyat Itali berasal dari Senegal. Menurut peguamnya, tindakannya itu adalah untuk menarik perhatian mengenai kesan dasar migrasi.
Kesemua pelajar yang dijadikan tebusan itu merupakan pelajar sekolah menengah di Crema. Mereka dalam perjalanan balik dari acara sukan yang diiringi tiga orang dewasa, apabila pemandu berkenaan secara tiba-tiba menukar haluan dan berkata kesemua pelajar itu adaalah tebusannya.
“Tiada siapa yang akan selamat,” kata pemandu itu, menurut beberapa murid.
Murid dan dua orang dewasa dalam bas yang terhidu asap dibawa ke hospital untuk diberi rawatan. Pemandu yang ditangkap itu juga dibawa ke hospital untuk merawat tangannya yang melecur.
Unit anti keganasan Milan diarahkan menyiasat kejadian tebusan itu. – AFP, 21 Mac, 2019.
Komen