Daim calon terbaik wakil Malaysia runding ECRL, kata menteri


Diyana Ibrahim

Daim Zainuddin berpengalaman luas dan boleh beri tumpuan sepenuh masa dalam rundingan ECRL dengan China, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2019.

PENASIHAT kerajaan Daim Zainuddin calon terbaik untuk wakil Malaysia untuk membuat rundingan semula projek dengan China, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menteri itu berkata Daim yang juga bekas menteri kewangan tersebut berpengalaman dan mampu menjalankan rundingan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) itu. 

Daim juga sesuai untuk jawatan itu kerana ia memerlukan tumpuan sepenuh masa.

“Saya mana ada masa. Kita kena ulang ke Beijing tujuh, lapan jam dan di peringkat kita tersekat dari segi protokol.

“Jadi di bawah Daim beliau seorang berpengalaman dan semua tahu kepakaran beliau.

“Saya rasa kita telah dapat calon terbaik,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen.

Lim turut menyatakan penghargaan kepada Daim kerana sanggup menggalas tugas besar sebagai utusan khas untuk mengendalikan rundingan semula itu.

“Beliau boleh mencari jalan dan kaedah dan tidak terikat dengan protokol. Orangnya pun tidak suka protokol. Beliau juga seorang yang sangat tegas.

“Inilah yang kita seorang yang amat tegas dan kita amat yakin beliau akan dapat satu jalan penyelesaian dan ia akan dibentangkan di kabinet untuk dimuktamadkan,” katanya.

Rundingan itu diadakan susulan persetujuan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk meneruskan projek itu dalam skala lebih kecil dengan persetujuan China.

Projek ECRL bernilai RM81 bilion yang diluluskan ketika pentadbiran Najib Razak itu dibatalkan kerajaan pada Januari lalu.

Ia diputuskan demikian kerana kerajaan tidak mampu menanggung kadar faedah tahunan yang menjangkau hampir RM500 juta, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali waktu itu.

Pengendali projek itu, China Communication Construction Company Ltd (CCCC) juga dilaporkan gagal mengurangkan kos projek dari RM81 bilion kepada RM40 bilion.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam berkata, kerajaan akan menanggung hutang RM130 bilion dalam tempoh 30 tahun jika projek itu diteruskan dengan syarat sedia ada. – 21 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen