KEPUTUSAN Putrajaya untuk menangguhkan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) memberikan mesej yang kerajaan menyokong diskriminasi kaum, kata laporan diskriminasi kaum 2018 dikeluarkan kumpulan hak asasi, Pusat Komas.
Bagi membetulkan kekhilafan ini, kerajaan Pakatan Harapan perlu mengeluarkan naratif jelas untuk menangani isu perkembangan diskriminasi kaum yang berlaku.
“Walaupun kerajaan buat keputusan untuk tidak tandatangan dan ratifikasi ICERD, usaha memecahkan salah tafsir konsep konvensyen antarabangsa itu perlu dilakukan.
“Putrajaya perlu juga mempertimbangkan keputusannya, kerana Malaysia dilihat sebagai benteng pengalaman pelbagai budaya,” kata laporan itu lagi.
Pusat Komas juga mengingatkan kerajaan yang ia perlu bergerak jauh daripada dasar berasaskan kaum dan melaksanakan dasar dan program yang boleh menyatukan negara seterusnya membentuk masyarakat yang inklusif.
“Untuk menangani isu pertumbuhan perkauman, usaha kolektif diperlukan dan kerajaan baharu perlu menjunjung janjinya untuk membina semula negara ini.
“Ia juga perlu meneruskan hubungan dengan kumpulan sivil, akademik, media dan sektor lain untuk melihat kaedah lain menangani rasisme,” tambahnya.
Dalam laporannya, Pusat Komas juga mencadangkan “sekatan berat perundangan dan rasmi” ke atas menteri, pegawai kanan, wakil rakyat, individu, ahli politik dan kumpulan media sosial daripada mengeluarkan kenyataan dan tindakan cenderung diskriminasi dan perkauman. – 21 Mac, 2019.
Komen