RM7.9 bilion kutipan cukai dipulangkan tahun ini, kata Guan Eng


Chan Kok Leong

RM4 bilion dipulangkan kepada syarikat untuk GST dan RM3.9 bilion dipulangkan kepada pembayar cukai pendapatan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2019.

PUTRAJAYA memulangkan balik RM7.9 juta kutipan cukai sepanjang dua bulan pertama tahun ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“RM4 bilion dipulangkan kepada syarikat untuk GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dan RM3.9 bilion dipulangkan kepada pembayar cukai pendapatan,” kata Lim di Dewan Rakyat hari ini.

“Pembayaran balik GST itu dibayar kepada 54.603 syarikat sementara pembayaran balik cukai pendapatan dibayar kepada 39,104 syarikat dan 37,672 pembayar cukai (individu).

“Pembayaran balik GST dibuat oleh Jabatan Kastam sementara pemulangan cukai dibuat Lembaga Hasil Dalam Negeri.”

Lim yang merupakan ahli Parlimen Bagan, membuat kenyataan itu menjawab soalan Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak-BN) tentang jumlah tuntutan GST yang masih belum dibayar kerajaan.

“Jumlah cukai pendapatan (sehingga enam tahun) dan duit GST (tiga tahun), berjumlah RM37 bilion, yang masih belum dibayar balik kerana kegagalan kerajaan terdahulu,” kata Lim.

Katanya, wang yang digunakan untuk membuat pembayaran balik itu berasal daripada dividen Petronas.

“Ini menunjukkan kami tak mengalihkan dividen Petronas kepada aktiviti lain,” kata Lim.

Lim berkata Petronas membayar dividen khas kepada kerajaan berjumlah RM8 bilion antara Januari dan Februari lalu.

Petronas diminta membayar dividen khas sebanyak RM30 bilion kepada kerajaan pada 2019 supaya pembayaran balik cukai kepada rakyat dapat dilakukan.

Selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya tahun lepas, Lim mendapati RM18 bilion wang yang sepatutnya digunakan untuk membayar balik pembayar cukai hilang.

“Sehingga 4 Mac, jumlah pembayaran balik GST tidak dibayar adalah RM22.145 bilion, melibatkan 298,457 syarikat.”

Pada sesi soal jawab, Lim berkata Petronas dan anak syarikatnya juga mempunyai kutipan GST yang masih belum dibayar balik.

“Jumlah hutang (GST kerajaan) dengan mereka adalah RM4.2 bilion.” – 21 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen