Belajar hidup harmoni daripada penduduk Sabah, kata ahli akademik


Alfian Z.M. Tahir

Penduduk Sabah mempunyai pelbagai kumpulan agama tetapi hidup dengan harmoni sejak berdekad lamanya, kata Johan Ariffin A. Samad dari Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS). – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 Mac, 2019.

RAKYAT negara ini perlu belajar dari penduduk di sebelah Timur Malaysia yang hidup dengan harmoni, kata Johan Ariffin A. Samad dari Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).

Beliau yang bercakap mengenai diskriminasi kaum di negara ini berkata rakyat Malaysia di sebelah Timur, khususnya di Sabah yang mempunyai pelbagai kumpulan agama hidup dengan harmoni sejak berdekad lamanya.

“Rakyat Malaysia di Semenanjung perlu belajar dari mereka di sebelah Timur. Di Sabah, ada salib di mana-mana saja. Tanda salib gereja merata di bandar. Saya belajar di sekolah Kristian, tetapi saya tak pernah masuk Kristian.

“Orang Sabah sudah bertahun-tahun hidup aman. Sebab itu kita perlu elakkan perkauman ini. Pergi ke Malaysia Timur, ambil angin baru,” kata ketua pegawai eksekutif IDS pada forum anjuran Pusat Komas pagi tadi.

Johan menjelaskan, penduduk di Malaysia Timur tidak berdepan masalah kaum dan agama. Mereka sebaliknya lebih bimbang tentang jumlah pendatang tanpa izin yang ramai.

“Kerajaan Persekutuan yang dulu menyebabkan penduduk tanpa izin ini wujud. Ini jadi isu di Sabah, bukan agama dan kaum.

“Kerajaan lama beri pendatang tanpa izin di Sabah kad pengenalan, jadi isu di sebelah Timur ini jauh berbeza, yang orang di sebelah Semenanjung tak faham,” katanya.

Johan menjawab soalan yang dikemukakan peguam Siti Kassim mengenai kebangkitan ketuanan Melayu di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pada forum itu, Siti berkata kerajaan PH gagal mengekang isu kepentingan kaum Melayu yang dimainkan Umno dan PAS.

“Parti politik guna bangsa dan agama untuk raih perhatian dan mereka mula dapat perhatian. Ini satu masalah serius dan kerajaan gagal dalam hal ini.

“Saya rasa kita dibelenggu hal ini di bawah PH. Tak teruk semasa bawah Barisan Nasional. Sekarang lebih teruk. Kenapa kita tak gunakan media kerajaan untuk bendung isu ini?” soal Siti. – 21 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen