Kes tapak lupus sisa haram ‘terbesar’, majlis Seberang Prai tubuh pasukan khas


Looi Sue-Chern

Presiden MPSP Rozali Mohamud berkata pasukan tindakan khas itu akan membincangkan cadangan penubuhan prosedur pemantauan dan pelaksanaan untuk menangani isu tersebut dan menghalang kes sama berulang di masa depan. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Mac, 2019.

MAJLIS Perbandaran Seberang Prai (MPSP) akan menubuhkan satu pasukan tindakan khas untuk menangani masalah pembuangan sisa haram di Machang Bubok, Bukit Mertajam, kes pencemaran terbesar pernah dihadapi majlis itu.

Presiden MPSP Rozali Mohamud berkata pasukan tindakan khas itu akan membincangkan cadangan penubuhan prosedur pemantauan dan pelaksanaan untuk menangani isu tersebut dan menghalang kes sama berulang di masa depan.

Pasukan itu akan disertai ahli majlis dan pelbagai jabatan majlis.

“Untuk permulaa, kita akan tubuhkan pasukan tindakan khas dalaman. Jika keperluan wujud, kita akan melibatkan agensi luar. Pasukan tindakan khas tidak boleh terlalu besar. Kami mahu halang kebocoran maklumat.

“Ini bukan mudah, tetapi kita perlu lakukan sesuatu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MPSP di Bandar Perda hari ini.

Rozali diminta mengulas mengenai tapak pembuangan sisa haram di Machang Bubok. Dilaporkan yang kawasan terbabit menjadi tapak pembuangan sisa plastik haram seluas enam padang bola sepak.

MPSP sebelum itu mengesahkan tiada permit dikeluarkan untuk penggunaan kawasan tersebut sebagai tapak pembuangan sisa.

Rozali berkata masalah pembuangan sisa haram itu adalah yang terbesar dihadapi majlis setakat ini.

“Kita tak pernah ada kes sebesar ini. Selalunya, kes pembuangan sisa haram berskala kecil, seperti membuang sisa di tebing sungai yang boleh ditangani segera.”

Kawasan seluas enam padang bola sepak di Machang Bubuk, Pulau Pinang didapati jadi tempat pelupusan sisa haram. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Mac, 2019.

Ditanya, jika majlis berdepan masalah kemampuan pelaksanaan memandangkan tapak haram tersebut sudah wujud bertahun lamanya, Rozali berkata beliau percaya MPSP boleh melakukan tugas mengatasinya.

“Kami adalah pihak berkuasa tempatan terbesar di negara ini. Kami menguruskan kawasan seluas 755,000 km persegi, yang lebih besar daripada Perlis dan Singapura.

“Kami ada kemampuan. Pegawai penguatkuasa kami juga cekap.

“Jika ada keperluan untuk meningkatkan penguatkuasaan di bawah Bajet 2020 kami, kami akan teliti,” katanya.

Tambahnya, setakat ini, MPSP sudah mengeluarkan sembilan notis kepada tiga pemilik tanah di Machang Bubok yang digunakan sebagai tapak pelupusan haram.

Pemilik tanah itu diarahkan untuk membersihkan tapak tersebut dan mengembalikannya kepada keadaan asal.

“Jika kami bawa mereka ke mahkamah, mereka boleh berdepan denda maksimum RM500,000 kerana melanggar Akta Perancangan Bandar dan Desa,” katanya.

Rozali berkata majlis ada batasan undang-undang, dan perlu mengikut akta dan peraturan sedia ada untuk bertindak ke atas tanah persendirian.

Katanya, majlis tidak boleh menghantar penguatkuasa atau memasang CCTV untuk pemantauan.

Kawasan tapak tersebut juga terletak jauh daripada kawasan pendalaman, terletak dalam kawasan ladang kelapa sawit dan penternakan ayam.

“Kawasan sebegitu adalah lokasi biasa untuk pembuangan sisa haram. Kami menggesa tuan tanah untuk bertanggungjawab.

“Kami ada undang-undang dan penguatkuasa, tetapi semua orang perlu menjalankan tugas mereka.”– 21 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen