KXP tak akan jejas Pulau Pinang, kata Azmin


Diyana Ibrahim

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata keputusan membangunkan lapangan terbang di Kulim selari dengan polisi kerajaan pusat yang tidak memberi fokus di Lembah Klang, Selangor dan Johor semata-mata. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2019.

PEMBINAAN lapangan terbang antarabangsa baharu di Kulim tidak akan menjejaskan Pulau Pinang, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata keputusan membangunkan lapangan terbang itu selari dengan polisi kerajaan pusat yang tidak memberi fokus di Lembah Klang, Selangor dan Johor semata-mata.

“Saya tak fikir ada impak kerana ia sebenarnya melengkapi apa saja kemudahan yang ada di Pulau Pinang dan juga Alor Setar.

“Dan kita akan lihat lebih pelabur akan datang di Malaysia,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengenai projek tersebut.

Chow berkata Pulau Pinang mahu kajian kebolehlaksanaan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan tersebut.

Mengulas mengenai itu, Azmin berkata sudah tentu kajian tersebut akan dilakukan.

“Akan ada proses tersebut, kerana sudah dibangkitkan dalam Majlis Koridor Utara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan dihadiri semua menteri besar dan ketua menteri.” – 21 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen