PERDANA Menteri Theresa May pada Rabu mengumumkan beliau tidak akan menangguhkan lagi selepas Jun depan terhadap usahanya membawa keluar Britain daripada Kesatuan Eropah (EU), menolak sebarang lanjutan masa andai anggota Parlimen tetap enggan menerima perjanjian Brexit yang dikemukakan kerajaannya, lapor Agensi berita Xinhua.
Perutusan kepada rakyat Britain dibuat selepas sesi tegang di Dewan Rakyat apabila May mengumumkan beliau sudah pun meminta Presiden Majlis EU, Donald Tusk supaya menangguhkan proses Britain keluar daripada blok itu.
Mesej keras itu ditujukan kepada anggota Parlimen bahawa jika mereka menolak lagi aturan berhubung Brexit selepas ini, bermakna tiada tawaran akan dibuat selepas ini, membolehkan Britain keluar daripada EU selepas menganggotai blok itu sejak 46 tahun lalu.
Penganalisis politik berkata, ucapan itu adalah taktik berisiko kerana ia mungkin menyukarkan lagi May untuk mendapatkan persetujuan selepas mengkritik keras anggota parlimen.
Jelas beliau menukar pendiriannya berbanding kenyataannya pada minggu lalu yang menegaskan akan mendapatkan lanjutan daripada Brussel andai aturan dibuatnya masih ditolak.
Bagaimanapun May sedikit cemas apabila Speaker Dewan Rakyat pada minggu ini menyatakan, perdana menteri itu tidak akan dibenar untuk membentangkan rang undang-undang Brexit buat kali ketiga kecuali dilakukan perubahan besar.
May akan berunding dengan Majlis EU pada Khamis dengan harapan mengumpul butiran lanjut untuk dimasukkan dalam perjanjian berkenaan sebelum dapat dibentang di Parlimen buat kali ketiga minggu depan.
“Saya amat pasti anda selaku rakyat sudah bosan. Anda muak dengan perbalahan dalaman. Anda sudah bosan dengan permainan politik dan perbalahan mengenai prosedur,” kata May.
Beliau berkata, rakyat bosan apabila ahli Parlimen tidak berhenti bercakap mengenai Brexit, ketika negara mempunyai banyak isu lain seperti sekolah kanak-kanak, perkhidmatan kesihatan kebangsaan dan jenayah bersenjata.
“Sekarang adalah masa untuk anggota Parlimen membuat keputusan….adakah mereka mahu keluar dari EU dengan satu bentuk perjanjian sejajar dengan pungutan suara rakyat atau mereka mahu keluar tanpa sebarang perjanjian.” – Bernama, 21 Mac, 2019.
Komen